Tahun Melawat Malaysia 2026 - Syarikat telco diarah perbaiki kualiti perkhidmatan

SEMPORNA, 26 April – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan sesi pengujian kualiti liputan komunikasi di kawasan pelancongan Sepilok, Sandakan, Sabah bagi menilai prestasi perkhidmatan rangkaian mudah alih dan kualiti Internet sedia ada.

Program pengujian ini telah dijalankan di dua lokasi utama pelancongan, iaitu Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok yang berada di bawah seliaan Jabatan Hidupan Liar Sabah, dan Rainforest Discovery Centre yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.


Sesi ini turut melibatkan beberapa penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (telco) iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech.

Hasil ujian mendapati bahawa liputan rangkaian di kawasan tumpuan utama pengunjung adalah pada tahap memuaskan, khususnya di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Rainforest Discovery Centre. 

Bagaimanapun, beberapa lokasi seperti kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan serta Lakeside Pavilion di Rainforest Discovery Centre didapati mempunyai liputan yang lemah.

Susulan penemuan ini, telco yang terlibat telah diminta untuk mengambil tindakan segera sebagai langkah persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Turut diadakan ialah sesi libat urus antara Kementerian Komunikasi dan pusat-pusat pelancongan utama di bawah kelolaan kerajaan negeri Sabah bagi meneroka peluang kerjasama dalam mempertingkatkan capaian komunikasi dan Internet, seterusnya menyokong pertumbuhan industri pelancongan negeri itu.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Zulkifeli Mohd Zin (B); dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya. — EdisiRakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post