CYBERJAYA, 30 April 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah menjalankan siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial susulan aduan orang awam berhubung penyebaran kandungan berunsur fitnah dan maklumat palsu yang menyentuh sensitiviti Institusi Diraja.
Siasatan dibuat mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dengan dua sesi rakaman percakapan telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada 25 dan 28 April lalu.
Berdasarkan siasatan awal, kandungan yang dimuat naik oleh pempengaruh terbabit mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas, selain cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran.
MCMC menjelaskan bahawa perbuatan sedemikian berpotensi menimbulkan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah serta mengancam keselamatan individu terlibat. Ia juga dilihat melanggar undang-undang berkaitan komunikasi dan perlindungan data peribadi.
Dalam satu kenyataan, MCMC turut menegaskan bahawa setiap aduan akan disiasat secara profesional dan berlandaskan perundangan sedia ada tanpa mengira status atau populariti individu.
Suruhanjaya itu juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja), atau bersifat mengancam, mengganggu, dan menceroboh privasi, kerana ia adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
إرسال تعليق