MALAYSIA terus mengorak langkah ke hadapan dalam pembangunan infrastruktur digital, dengan peningkatan ketara dalam capaian internet serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan 5G, menjadikannya antara negara terkemuka di rantau ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, inisiatif seperti Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) dan pelaksanaan 5G telah mempercepatkan transformasi digital negara serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.
"Sehingga 31 Disember 2024, lebih 9.03 juta premis di Malaysia telah mendapat akses kepada internet berkelajuan tinggi dan rangkaian gentian optik melebihi sasaran awal sebanyak 9 juta menjelang 2025," katanya dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona.
Beliau turut memaklumkan bahawa kelajuan median jalur lebar mudah alih negara kini mencapai 105.36 Mbps, manakala liputan internet di kawasan berpenduduk meningkat kepada 98.66% pada suku keempat 2024, dengan sasaran mencapai liputan penuh menjelang 2025.
Katanya dalam usaha memastikan jaringan 5G diperluaskan secara menyeluruh liputan kawasan berpenduduk kini telah mencapai 82.4%, dengan kadar penembusan pengguna 5G mencecah 56.18% setakat ini.
"Selain memperluaskan capaian internet, kerajaan turut memberi tumpuan kepada inisiatif inklusif seperti penubuhan Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) yang kini mempunyai 1,099 pusat di seluruh negara.
"Melalui program 1 Kawasan Parlimen, 1 NADI, pusat ini bukan sahaja menyediakan akses internet tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat melalui lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan, kesedaran serta inisiatif kerajaan," katanya.
Selain itu beliau berkata dalam usaha memperkukuh lagi ekosistem digital negara, Malaysia turut melaksanakan inisiatif 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN), yang menjadi contoh kerjasama terbaik antara penyedia rangkaian mudah alih dan kerajaan negeri.
Langkah ini membantu meningkatkan kapasiti rangkaian serta mengurangkan kesesakan membolehkan operator menawarkan perkhidmatan dengan lebih cekap melalui infrastruktur sedia ada.
"Bagi meningkatkan kualiti rangkaian, MCMC Nexus telah diperkenalkan sebagai alat analisis pintar untuk memantau prestasi internet secara menyeluruh.
"Sistem ini membolehkan pemetaan capaian rangkaian secara geografi sekali gus membantu perancangan bandar dan pembangunan infrastruktur digital yang lebih sistematik," katanya.
AI Perkukuh Ekonomi Digital
Mengulas lanjut, Mohamad Fauzi berkata selain infrastruktur digital Malaysia juga merintis usaha kepada penerapan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelbagai sektor.
Ujarnya industri teknologi negara telah mencapai kemajuan besar dalam AI melalui kerjasama strategik dengan rakan tempatan, serantau, dan global.
"Salah satu pencapaian utama ialah pembangunan model bahasa besar pertama Malaysia, yang dioptimumkan untuk bahasa kebangsaan. Langkah ini memastikan AI yang dibangunkan selari dengan keperluan budaya dan linguistik tempatan.
"AI juga memainkan peranan penting dalam sektor kewangan dengan teknologi ini membuka ruang kepada bank pintar yang lebih cekap dan bersifat peribadi bagi pengguna," katanya.
Menyentuh dalam bidang penyiaran pula, teknologi AI dan 5G turut merevolusikan pengalaman siaran langsung, seperti yang terbukti melalui liputan langsung Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menggunakan teknologi 5G-Advanced.
Selain itu katanya, teknologi satelit dan IoT digunakan bagi merapatkan jurang digital terutama di kawasan luar bandar membolehkan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada ekonomi digital.
Menurut Mohamad Fauzi, usaha ini bukan sekadar memastikan capaian internet lebih baik tetapi membina Malaysia yang lebih bijak dan berdaya saing dalam ekonomi digital.
"Dengan pelaburan berterusan dalam teknologi, kerjasama strategik dan fokus kepada kemampanan, Malaysia kini bersedia untuk menjadi hab inovasi digital serantau," katanya.
MWC 2025, yang berlangsung di Barcelona dari 3 hingga 6 Mac merupakan salah satu perhimpunan paling berprestij dan berpengaruh dalam sektor telekomunikasi serta teknologi global.
Buat pertama kali Malaysia mengambil langkah signifikan dalam penyertaannya dengan menghimpunkan semua kehadiran industri di bawah satu platform, iaitu Pavilion Malaysia.
Inisiatif ini, yang disokong oleh Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta pengendali rangkaian mudah alih (MNO) utama, bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital di ASEAN serta pemain utama di peringkat global.
Post a Comment