UMAT Islam di Malaysia diseru untuk bersolidariti dan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan semula Gaza yang mengalami kemusnahan besar akibat konflik yang berpanjangan.
Menerusi teks Khutbah Jumaat bertajuk "Persaudaraan Ummah Demi Kesejahteraan Gaza", yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), umat Islam diingatkan tentang tanggungjawab untuk membantu saudara seagama yang sedang dalam kesusahan.
Khutbah tersebut menekankan bahawa semangat persaudaraan dan ukhuwah Islamiyah harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan, termasuk memberikan sokongan kepada inisiatif pemulihan Gaza.
Menurut teks khutbah itu, umat Islam masih dalam tempoh kedukaan mengenang penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang telah menghadapi konflik perang yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023, mengorbankan lebih 46,000 nyawa.
Walaupun gencatan senjata telah dimeterai pada 19 Januari lalu, kesan kemusnahan akibat serangan tetap meninggalkan impak besar terhadap kehidupan rakyat Palestin, yang kini berdepan dengan cabaran untuk membina semula wilayah mereka.
Dalam laporan terkini Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada 28 Januari lalu, sebanyak 69 peratus struktur bangunan di seluruh Gaza telah musnah.
Dalam sektor pendidikan, 88 peratus sekolah dan universiti rosak teruk, dengan 496 daripada 564 sekolah serta 51 institusi pengajian tinggi memerlukan pembinaan semula sepenuhnya.
Di samping itu, sektor kesihatan juga mengalami kemusnahan yang ketara, dengan 18 daripada 36 hospital hanya dapat berfungsi sebahagian, sementara 11 hospital lapangan masih beroperasi dengan kapasiti terhad.
Bagi kemudahan keagamaan, laporan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin menunjukkan bahawa 815 masjid telah musnah sepenuhnya, manakala 151 lagi mengalami kerosakan.
Sehubungan itu, khutbah tersebut mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk membantu saudara mereka yang dalam kesusahan.
Ia turut menekankan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, yang menyatakan bahawa sesiapa yang membantu meringankan kesusahan saudaranya, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.
Dalam usaha membantu pemulihan Gaza, khutbah tersebut menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai antara negara yang konsisten dalam membela nasib rakyat Palestin.
Kerajaan Malaysia telah mengumumkan komitmen untuk bekerjasama dengan Jepun serta negara lain di peringkat antarabangsa bagi menyokong inisiatif pembangunan semula Gaza.
Sebagai langkah awal, kerajaan bercadang untuk menyumbang kepada pembinaan semula sekolah, hospital, dan masjid di Gaza.
Usaha ini bertujuan untuk mengurangkan beban krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, selain membantu mereka mendapatkan semula akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, serta tempat ibadah yang selamat.
Menurut teks khutbah itu lagi, kejayaan program bantuan ini memerlukan penglibatan aktif seluruh rakyat Malaysia, termasuk agensi kerajaan, sektor korporat, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Seluruh umat Islam digalakkan untuk bersama-sama bersolidariti melalui program pembangunan semula Gaza sebagai manifestasi semangat persaudaraan dan kesatuan ummah Islamiyah," kata khutbah tersebut.
Post a Comment