ISU Titah Adendum dalam keputusan Lembaga Pengampunan terus menjadi polemik dengan pembangkang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menderhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Penganalisis politik memberitahu EdisiRakyat bahawa tindakan pembangkang memainkan isu ini berulang kali mungkin dilihat bagi menimbulkan tekanan politik terhadap kerajaan.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, menjelaskan bahawa peranan Anwar dalam Jemaah Lembaga Pengampunan tidak boleh disamakan dengan fungsinya sebagai Perdana Menteri dalam Jemaah Menteri, yang memberi nasihat kepada Agong dalam hal ehwal pemerintahan negara.
Katanya, dalam konteks Lembaga Pengampunan, kuasa penuh tetap terletak pada Agong, yang mempertimbangkan keputusan berdasarkan nasihat daripada lembaga tersebut yang terdiri daripada pelbagai pihak.
"Sepatutnya, pihak yang pembangkang patut rujuk adalah Peguam Negara, kerana beliau yang paling arif. Peguam Negara adalah individu yang memberi nasihat kepada kerajaan. Jadi, Titah Adendum ini tidak patut dimainkan lagi.
"Tambahan pula, Datuk Seri Najib Razak sudah membawa isu ini ke mahkamah. Jadi, apabila perkara itu telah dibawa ke mahkamah, maka ia harus diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan memberikan tafsiran terhadap perkara tersebut. Ia tidak perlu dipolemikkan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bahawa Perdana Menteri menderhaka kepada bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, berhubung Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Ahli Parlimen Larut itu membuat dakwaan tersebut di Dewan Rakyat, sehingga mencetuskan kekecohan dan memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, melarang sebarang perbahasan berkaitan Titah Adendum dalam sidang Parlimen, kali ini.
Johari menetapkan larangan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang. Selain itu, beliau turut melarang penggunaan perkataan "derhaka" dalam perbahasan mengenai isu titah berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).
Pembangkang Gunakan Isu Ini untuk Raih Sokongan
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pula berkata tindakan pembangkang yang terus memainkan isu ini adalah sebahagian daripada strategi politik mereka untuk mengalihkan tumpuan serta menyerang kerajaan.
Menurutnya, tidak timbul isu derhaka memandangkan penjelasan mengenai perkara itu sudah dibuat oleh Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang.
"Namun, isu ini terus dimainkan pembangkang kerana walaupun ada segelintir masyarakat yang berfikiran kritis dan memahami isu sebenar, hakikatnya ramai di luar masih keliru dengan Titah Adendum ini.
"Oleh sebab itu, mereka terus memainkan isu ini untuk mendapat perhatian rakyat. Kekeliruan ini memudahkan pembangkang menggunakannya bagi meraih sokongan serta meningkatkan populariti mereka, sedangkan kita tahu ia sebenarnya tidak melibatkan Perdana Menteri," katanya.
Lebih daripada itu, kata Awang Azman, hakikatnya Perikatan Nasional (PN) sendiri yang melakukan pendakwaan terhadap Najib, sehingga menyebabkan beliau dijatuhi hukuman penjara.
Menurutnya, langkah pembangkang memanipulasi isu ini untuk menunjukkan kepada umum, khususnya penyokong Najib dalam UMNO, bahawa mereka berada di pihak bekas Perdana Menteri itu.
"Saya kira ini juga salah satu motif utama mereka, iaitu untuk memecahkan undi akar umbi UMNO yang masih setia kepada Najib," katanya.
BBC: Tuduhan Pembangkang Cuba Rosakkan Hubungan Kerajaan-Institusi Diraja
Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) turut mengecam dakwaan Ketua Pembangkang yang disifatkan sebagai melampau dan bertujuan merosakkan hubungan antara kerajaan dan Institusi Diraja.
Ketua BBC, Mohd Shahar Abdullah, berkata tuduhan yang dibuat Hamzah itu bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik, tetapi juga berpotensi menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.
"Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawabdalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata," katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Paya Besar itu menegaskan bahawa titah Sultan Pahang memang wujud, namun titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya.
Katanya, Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa urusan berkaitan Titah Adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan bukan di bawah tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.
"Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan," ujarnya.
Selain itu, beliau menolak dakwaan bahawa isu ini akan menjejaskan ekonomi negara, termasuk pelaburan asing.
"Dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan adalah tidak berasas.
"Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, dasar mesra pelabur, dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sepanjang pentadbiran, kerajaan sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.
"Segala tindakan kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara," katanya.
Post a Comment