PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus menghormati dan meraikan kepelbagaian budaya terdapat di negara ini.
Beliau berkata, keunikan budaya serta amalan yang berbeza harus diraikan sebagai satu kekuatan dan bukan bersifat melemahkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
"Dalam dunia yang semakin tidak menentu, semangat saling menghormati dan menerima perbedaan harus menjadi tunjang yang memungkinkan perpaduan.
"Keunikan budaya dan amalan yang berbeda harus diraikan sebagai kekuatan, bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah.
"Lantas, ciri ini yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia," katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu ucapan khas yang dimuat naik di media sosial bersempena sambutan perayaan Thaipusam pada esok.
Terdahulu, Anwar menyifatkan sambutan Thaipusam bukan sekadar sebuah perayaan malah, menjadi simbol ketabahan, keazaman dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan bagi penganut Hindu.
Jelasnya, ia turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan dalam kehidupan.
Bersempena sambutan Thaipusam, dijangkakan lebih dua juta penganut agama Hindu dan pengunjung bakal membanjiri Batu Caves.
Jumlah itu menyaksikan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.
إرسال تعليق