RUU Majlis Media bela nasib media tempatan, kata pakar

PAKAR media dan pemain industri menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 dengan menyifatkannya sebagai pencapaian penting dalam landskap media negara.

Mereka memberitahu EdisiRakyat bahawa dengan adanya majlis ini, media tempatan kini mempunyai badan yang boleh berfungsi sebagai pemantau dan penasihat.

Menurut Felo Operasi Psikologi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan ke arah ekosistem media yang lebih bebas dan bertanggungjawab selaras dengan standard antarabangsa.

"Kelulusan RUU ini amat signifikan dalam tamadun komunikasi media kerana pertumbuhan landskap media memerlukan satu bentuk semak imbang dan ketahanan diri bagi memastikan industri berkembang dengan baik.

"Ini selaras dengan kemajuan teknologi AI serta elemen yang membawa perubahan dalam komunikasi, khususnya dalam media dan pelaporan.

"Ia juga merupakan rentetan kemenangan besar hasil usaha Kementerian dan Kerajaan Madani dalam menambah baik tadbir urus media di negara ini," katanya.

Beliau turut menegaskan dengan adanya Majlis Media Malaysia, pengamal media akan memiliki satu mekanisme rasmi untuk menangani isu berkaitan etika kewartawanan, penyebaran maklumat palsu serta cabaran digital yang semakin berkembang.

Katanya dalam dunia yang semakin dipenuhi berita palsu dan manipulasi maklumat, kehadiran badan seperti ini amat diperlukan untuk melindungi kepentingan masyarakat serta memastikan media berfungsi sebagai penyebar maklumat yang sahih dan berintegriti.

Noor Nirwandy juga menambah bahawa gabungan Majlis Media Malaysia penting dalam memastikan media tempatan berperanan mengekalkan kestabilan negara termasuk mencegah aktiviti subversif dan memelihara perpaduan.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemilikan media tempatan bagi mengelakkan pengaruh luar, terutama pengaruh daripada  konglomerat media antarabangsa.

"Dalam menghadapi cabaran penjanaan pendapatan akibat keterbatasan iklan, platform digital berbayar dicadangkan sebagai langkah untuk memastikan kelangsungan industri media tempatan," katanya.

Masa Depan Media Malaysia

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata meskipun kelulusan ini satu pencapaian besar, cabaran masih ada, terutama dalam memastikan majlis ini benar-benar berfungsi seperti yang diharapkan.

Antara persoalan yang timbul ialah sejauh mana badan ini akan diberikan kuasa dalam menangani isu media, bagaimana keanggotaannya akan ditentukan serta peranan yang dimainkan dalam konteks kebebasan bersuara di Malaysia.

Namun secara keseluruhannya, langkah ini membawa harapan baharu kepada industri.

"RUU Majlis Media Malaysia ini satu langkah ke hadapan, harap dianggotai oleh mereka yang terdiri daripada golongan pakar akademik, perang saraf, pakar undang-undang, dan pemilik media yang mampu membawa hala tuju ke arah peradaban ekosistem baharu serta mendukung elemen perpaduan negara," katanya.

GKMM: RUU Majlis Media Malaysia Berita Gembira Buat Pengamal Media

Sementara itu, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berkata keputusan ini amat dinantikan oleh pengamal media, terutama dalam memastikan industri terus berdaya saing di era digital.

Menurut Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak, RUU ini diharap dapat menangani pelbagai isu kebajikan wartawan serta menyediakan platform bagi perbincangan bersama antara industri media dan kerajaan.

"Penghargaan khusus diberikan kepada Kementerian Komunikasi, terutama Menteri Fahmi Fadzil serta timbalannya, Teo Nie Ching, atas komitmen dan kesungguhan mereka berdua dalam memastikan RUU ini akhirnya dibentang dan diluluskan dengan jayanya di Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata GKMM menaruh harapan agar kerajaan meletakkan keutamaan dari segi penglibatan dan penyertaan penuh daripada kalangan warga media dalam Majlis Media Malaysia.

Ini katanya terutama dalam membuat dan menentukan keputusan penting yang menyentuh hala tuju dan masa depan industri ini.

Peranan MCMC dan Sokongan Kerajaan

Langkah ke arah penubuhan Majlis Media Malaysia bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba.

Ia merupakan hasil daripada usaha berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkepentingan industri dalam memastikan media di Malaysia berkembang dengan lebih lestari.

Sebelum ini, banyak pihak dalam industri telah menyuarakan keperluan untuk sebuah badan kawal selia kendiri bagi menggantikan kawalan kerajaan yang sering dilihat sebagai terlalu ketat.

Kerajaan melalui MCMC mengambil pendekatan inklusif dengan mengadakan sesi libat urus bersama pengamal media, pakar industri, dan organisasi kewartawanan sebelum memberi kelulusan rasmi kepada penubuhan badan ini.

Sejarah tercipta apabila RUU Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu.

RUU ini menerima sokongan majoriti daripada blok kerajaan dan pembangkang selepas dibahas oleh 18 ahli Parlimen.

Post a Comment

أحدث أقدم