LANGKAH kerajaan menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik dilihat sebagai satu usaha mengekalkan kestabilan pasaran dan memastikan kebajikan pesawah terus terjaga.
Menurut penganalisis ekonomi, Mohamad Khair Afham, meskipun kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan pesawah yang mahu harga dinaikkan kepada RM1,800 keputusan ini dianggap langkah terbaik bagi mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara.
Katanya kerajaan perlu mencari jalan tengah bagi memastikan pesawah mendapat manfaat tanpa menjejaskan kestabilan pasaran beras dan ekonomi pengguna secara keseluruhan.
"Sekiranya harga padi naik terlalu tinggi, kos pengeluaran beras juga akan meningkat secara drastik, yang boleh menyebabkan lonjakan harga beras di pasaran. Ini bukan sahaja membebankan pengguna tetapi juga boleh mengurangkan daya saing industri padi tempatan kerana harga beras import mungkin menjadi lebih murah berbanding beras tempatan.
"Selain itu, kenaikan harga padi yang terlalu tinggi juga boleh memberi tekanan kepada pengilang dan pemborong. Sekiranya kos bahan mentah terlalu tinggi, sesetengah pengilang mungkin terpaksa mengurangkan pengeluaran atau meningkatkan harga jualan yang akhirnya boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam rantaian bekalan beras negara," katanya kepada EdisiRakyat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan menyelaraskan harga belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa 16 Februari.
Langkah ini dibuat selepas desakan daripada pesawah yang sebelum ini menuntut kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,800.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengumumkan penyelarasan harga berkata, keputusan kerajaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kenaikan kos input pertanian seperti baja, racun dan impak terhadap industri beras, serta usaha mengekalkan harga beras putih tempatan pada kadar RM2.60 per kilogram bagi melindungi pengguna daripada kenaikan mendadak.
Menurutnya, kerajaan turut memperuntukkan kira-kira RM150 juta kepada pihak pengilang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi memastikan harga beras kekal stabil di pasaran. Sebanyak 24 juta kampit beras putih 10 kilogram (kg) yang berharga RM26 juga akan diedarkan ke pasaran dalam tempoh tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif kestabilan harga.
Impak kepada Inflasi dan Kos Sara Hidup
Dalam konteks yang lebih luas, pakar ekonomi itu menekankan kenaikan harga padi yang mendadak boleh memberi kesan kepada inflasi makanan, terutamanya kerana beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.
"Jika harga beras meningkat terlalu tinggi, rakyat perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan bekalan makanan asas, yang seterusnya mengurangkan perbelanjaan mereka dalam sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan," katanya.
Kesan rantaian ini juga boleh dirasai oleh industri makanan dan restoran, yang terpaksa menaikkan harga jualan jika kos bahan mentah meningkat.
"Akibatnya, harga makanan di luar meningkat, memberi kesan langsung kepada pengguna," katanya.
Persaingan dengan Beras Import
Selain itu, kenaikan harga padi tempatan yang tidak diiringi dengan peningkatan produktiviti boleh menjadikan beras import khususnya dari Thailand, lebih kompetitif.
"Thailand merupakan antara pengeksport beras terbesar di dunia dengan kos pengeluaran yang lebih rendah dan produktiviti yang lebih tinggi. Jika harga padi tempatan meningkat tanpa peningkatan hasil yang sepadan, pengguna dan peniaga mungkin lebih cenderung memilih beras import," katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya harga beras tempatan melambung tinggi, golongan berpendapatan rendah dan sederhana berpotensi untuk beralih kepada beras import yang lebih murah.
Dalam jangka panjang, katanya permintaan terhadap beras tempatan akan berkurangan, sekali gus memberi tekanan kepada pesawah dan industri padi negara.
Langkah Jangka Panjang: Tingkatkan Produktiviti, Kurangkan Kos
Bagi memastikan industri padi tempatan kekal berdaya saing, Mohamad Khair mencadangkan supaya kerajaan tidak hanya menumpukan kepada penyelarasan harga semata-mata, tapi juga memperkukuh produktiviti pesawah dan mengurangkan kos pengeluaran.
"Kerajaan perlu memastikan bahawa sebarang kenaikan harga padi diimbangi dengan dasar yang dapat meningkatkan daya saing pesawah tempatan. Ini termasuk penggunaan teknologi pertanian moden dan insentif untuk meningkatkan hasil per hektar," katanya.
Ujarnya Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada beras import dengan memperkukuh industri padi tempatan.
"Jika tidak, pasaran tempatan akan lebih terdedah kepada turun naik harga beras antarabangsa, yang boleh menggugat kestabilan bekalan makanan negara.
"Oleh itu, selain menyelaraskan harga padi, kerajaan perlu memberi penekanan kepada usaha meningkatkan produktiviti pesawah dan mengurangkan kos pengeluaran bagi memastikan industri beras tempatan kekal berdaya saing dengan beras import dari Thailand dan negara lain," katanya.
Post a Comment