Penyelarasan harga lantai padi RM1,500 per tan metrik, pesawah ucap terima kasih

KERAJAAN mengumumkan penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, berkuat kuasa Ahad ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjelaskan penetapan harga lantai belian baharu ini mengambil kira kenaikan kos upah dan input pertanian seperti baja dan racun serta kesannya terhadap kos pengeluaran beras dan harga pasaran.

"Sukacita saya juga ingin memaklumkan bahawa KPKM kini sedang memuktamadkan perundingan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi membolehkan penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras turut layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani," katanya.

Selain penyelarasan harga lantai belian padi, kerajaan turut mengekalkan harga beras putih tempatan pada kadar RM2.60 per kilogram.

Bagi menjayakan inisiatif ini, kerajaan akan memperuntukkan kira-kira RM150 juta kepada pihak pengilang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 24 juta kampit beras putih 10 kilogram (kg) yang berharga RM26 akan berada di pasaran.

Dalam sidang medianya, Mohamad menegaskan bahawa langkah ini bertujuan menyeimbangkan kepentingan pesawah, pengguna, dan industri penggilingan beras.

"Pengumuman ini diharap dapat menjadi situasi menang-menang kepada pesawah, pengilang, dan pengguna. Kerajaan, apabila membuat sesuatu keputusan, perlu mengambil kira kepentingan semua pihak—yang paling utama tentulah penanam padi, diikuti oleh pengguna serta pengilang, pemborong, dan peruncit," katanya.

Keputusan ini dibuat susulan perhimpunan kira-kira 200 pesawah di hadapan ibu pejabat KPKM di Putrajaya pada 27 Januari lalu. Mereka mendesak kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 serta membantah Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman yang didakwa tidak dirangka melalui rundingan bersama petani.

Mengulas mengenai harga RM1,500 yang lebih rendah daripada tuntutan pesawah, Mohamad menjelaskan ia dibuat dengan mengambil kira kesan terhadap kenaikan harga beras di pasaran.

"Jika kerajaan bersetuju dengan permintaan pesawah untuk menaikkan harga lantai kepada RM1,800, ia akan memberi kesan langsung kepada harga beras bagi pengguna.

"Dengan harga lantai sedia ada pun, kerajaan perlu campur tangan dengan memberikan subsidi bagi memastikan harga beras kekal pada RM2.60 per kilogram," katanya.

Beliau turut memberi contoh beberapa kilang, termasuk di Arau, Perlis, yang terpaksa ditutup kerana tidak dapat mengeluarkan beras pada harga RM2.60 sekilogram seperti yang ditetapkan, disebabkan kos harga lantai belian padi yang tinggi.

PeSAWAH Hargai Langkah Kerajaan, Namun Mahu Insentif Tambahan

Sementara itu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan atas inisiatif kerajaan.

Bagaimanapun, presidennya Abdul Rashid Yob, menyeru kerajaan agar meneliti semula tuntutan pesawah dan mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi memastikan kesejahteraan mereka.

Beliau mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif tambahan sebanyak RM300 kepada pesawah, sebagai tambahan kepada harga lantai RM1,500 yang diumumkan.

Selain itu, PeSAWAH turut mencadangkan penurunan harga kawalan benih padi sah daripada RM58 kepada RM35, iaitu harga asal sebelum kenaikan pada Mac 2024.

"Alasan kenaikan harga benih pada waktu itu adalah kerana harga belian semasa padi (bukan harga lantai) yang ditawarkan kilang ketika itu adalah RM1,700. Namun kini, harga belian padi telah menurun, maka harga benih juga perlu disemak semula," katanya.

Abdul Rashid turut menegaskan bahawa pesawah merupakan tulang belakang kepada pengeluaran makanan negara, dan kerajaan perlu memberikan sokongan yang sewajarnya.

"Jika kami tidak diberikan sokongan yang mencukupi, bagaimana mungkin kami dapat terus menghasilkan padi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia?" katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post