Lebih 85 peratus rakyat tidak terjejas kenaikan tarif elektrik - Perdana Menteri

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa pada Julai hanya melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi.
 
Jelasnya, kenaikan tarif itu mengikut kaedah Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang pada masa sama tidak akan menjejaskan lebih 85 peratus rakyat negara ini.


"Kenaikan tarif ini dikenakan ke atas sektor industri, bukan kepada negara, bukan kepada rakyat. Saya kata, itu pun bukan 14 peratus seperti yang diumumkan.
 
"Kenaikan tarif kepada industri dan golongan maha kaya, kita nak pertahan apa dia, kalau tak cukai kepada orang kaya, nak tambah peruntukan untuk sekolah dan hospital, dari mana wangnya?
 
"Jadi kita perlu terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah kepada industri dan golongan kaya," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Terdahulu, Anwar turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai situasi ekonomi negara yang berada dalam keadaan memberansangkan.
 
"Ekonomi bukan wayang, ia berasaskan fakta. Fakta menunjukkan pelaburan kita meningkat jauh lebih baik berbanding (pentadbiran) Perdana Menteri sebelum ini.
 
"Faktanya, kadar pertumbuhan (ekonomi) juga meyakinkan, faktanya ringgit terus mengukuh walaupun berdepan keadaan geopolitik tidak menentu," katanya lagi.
 
Kenaikan Tarif Elektrik Terhad akan dilaksanakan bermula Julai dengan hanya melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi.
 
Kenaikan tarif bertujuan memastikan kestabilan ekonomi selain menyokong perbelanjaan penting termasuk pendidikan dan kesihatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post