Kempen Keselamatan Dalam Talian anjuran MCMC disambut para baik ibu bapa

GOLONGAN ibu bapa antara menyambut baik jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ibu bapa dihubungi EdisiRakyat berpandangan, inisiatif digerakkan oleh MCMC tepat pada masanya memandangkan terdapat banyak kandungan di media sosial yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

Ida Nadirah Ibrahim, 39, berkata langkah kerajaan menggerakkan kempen ini adalah wajar dan pada masa sama menyeru para ibu bapa menyokong usaha untuk mengawal penggunaan media sosial oleh anak-anak.

"Saya menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memantau serta menghadkan penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak bawah umur.

"Namun, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam menyantuni perkara ini. Mereka juga seharusnya tidak lepas tangan dan seharusnya memantau rapi aktiviti anak-anak di ruang awam (media sosial)," katanya.

Sementara itu, Yusryman Zahir, 38, berpandangan kempen kesedaran penggunaan internet oleh kanak-kanak bawah umur yang diadakan di sekolah serta institusi pengajian tinggi adalah satu langkah tepat.

Jelasnya, kanak-kanak perlu diberi pendedahan mengenai bahaya atau ancaman terdapat di internet atau media sosial.

"Kempen di sekolah dan universiti ini adalah satu langkah tepat dan bijak.

"Saya lihat masih ramai anak-anak kita yang tak peka dengan ancaman seperti penipuan, ugutan dan sebagainya di media sosial. 

"Lebih parah ada permainan dalam talian sekarang ini yang mempromosikan perkara-perkara tidak senonoh kepada anak-anak kecil," katanya.

Bagi Rajan a/l Muniandy, 42, kebimbangan peningkatan kadar jenayah dalam talian seharusnya diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Justeru jelasnya, kempen yang digerakkan perlu dilakukan sepanjang masa dan tidak hanya bersifat 'bermusim'.

"Saya setuju dengan kempen seperti ini dan mohon kerajaan mempertimbangkan untuk terus melakukan inisiatif ini. Kita tidak mahu hanya sekejap dan terus berhenti selepas beberapa ketika," katanya.

Tahun lalu, jumlah jenayah dalam talian mencecah 35,368 kes dengan kerugian lebih RM1.5 bilion.

Peka dengan situasi tersebut, kerajaan melakukan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan telah diwartakan pada 7 Februari 2025 yang berkuat kuasa pada 11 Februari
2025.

Sehubungan itu, kempen Keselamatan Dalam Talian akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara.

Antara fokus utama kempen adalah memperluaskan maklumat larangan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun memiliki akaun media sosial, pendedahan kepentingan mengesan penipuan serta penerangan mengenai penggunaan internet secara selamat.

Post a Comment

Previous Post Next Post