KEPUTUSAN kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 mendapat sokongan padu daripada badan pekerja dan majikan menyifatkannya sebagai langkah progresif.
Mereka memberitahu EdisiRakyat walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan majikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengenai beban kewangan, namun dengan strategi yang tepat, kenaikan gaji minimum akan membawa manfaat jangka panjang kepada pekerja, majikan, dan ekonomi secara keseluruhan.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kenaikan ini adalah keperluan mendesak bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terjamin, terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Pengerusinya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata MEF melihat pelaksanaan kadar baharu ini sebagai peluang bagi majikan meningkatkan daya saing dan menarik tenaga kerja berbakat, sekali gus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Kami menyokong penuh komitmen kerajaan dalam memastikan pemantauan dan penguatkuasaan gaji minimum dilakukan dengan tegas. Majikan yang gagal mematuhi kadar gaji minimum boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732)," katanya .
Pada masa sama MTUC turut menggesa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan semua majikan mematuhi kadar gaji yang ditetapkan dan tidak mengeksploitasi pekerja.
Katanya majikan perlu tahu bahawa gaji minimum bukanlah kadar gaji yang sesuai untuk semua pekerja.
Oleh itu beliau menyarankan kerajaan memperkenalkan struktur gaji bermaruah yang mengambil kira tahap pendidikan dan kemahiran pekerja, seperti:
MEF: Gaji Lebih Adil, Produktiviti & Ekonomi Akan Meningkat
Dalam pada itu, Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata kenaikan gaji minimum akan membantu majikan menarik serta mengekalkan pekerja berbakat serta meningkatkan motivasi pekerja.
"Kami percaya bahawa pelaburan dalam tenaga kerja ini akan membawa manfaat kepada syarikat dalam jangka panjang. Apabila pekerja lebih berpuas hati, mereka akan lebih produktif, yang seterusnya meningkatkan daya saing syarikat dan ekonomi negara," katanya.
MEF juga mengakui majikan PKS mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kadar baharu ini.
Kerana itu katanya kerajaan memberi tempoh penyesuaian selama enam bulan kepada perusahaan mikro (kurang lima pekerja) sehingga 1 Ogos 2025.
Bagi mengelakkan kenaikan kos operasi, pula MEF mencadangkan agar majikan mengambil langkah meningkatkan kecekapan operasi, melabur dalam latihan tenaga kerja serta menerapkan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti.
Kenaikan Gaji Minimum Tidak Jejaskan Operasi Syarikat, Sumbangan Pekerja Perlu Dihargai
Pengerusi Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) N Gopal Krishnan pula berkata ketika gaji minimum RM900 pertama kali diperkenalkan di Malaysia, majoriti syarikat, terutamanya PKS melahirkan kebimbangan mereka mungkin terpaksa menutup operasi akibat kenaikan kos gaji.
Pada ketika itu, katanya Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meramalkan bahawa hampir 30% PKS mungkin akan gulung tikar.
Namun, berdasarkan data sebenar, kurang daripada 20 syarikat menamatkan operasi mereka, dan kebanyakan penutupan tersebut bukan berpunca daripada kenaikan gaji minimum tetapi atas faktor lain.
'Ini bermaksud kebimbangan majikan tidak berasas, syarikat mampu serap kos tambahan tanpa perlu menutup operasi.
"Data juga menunjukkan apabila kerajaan menaikkan gaji minimum kali pertama produktiviti turut meningkat," katanya.
Beliau berkata bahawa kenaikan gaji minimum bukan satu ancaman kepada kelangsungan perniagaan, sebaliknya ia dapat meningkatkan kuasa beli rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, perkongsian pekerja dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mengalami penurunan sebanyak 2% dalam tempoh dua tahun, daripada 34.5% kepada 32.5%.
Walaupun produktiviti pekerja meningkat, manfaatnya tidak seiring dengan kenaikan gaji yang sewajarnya. Keadaan ini menunjukkan bahawa pekerja masih belum menerima bahagian yang adil dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Sehubungan itu, keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 memberi manfaat 4.37 juta pekerja di Malaysia.
Perdana Menteri juga menekankan bahawa peningkatan gaji ini bertujuan untuk merangsang kuasa beli rakyat dan membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Post a Comment