KERAJAAN diminta untuk terus mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara selain mengekalkan hubungan diplomatik yang baik.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan perlu tuntas dalam menangani isu membabitkan kedaulatan negara menerusi pelbagai cara termasuk saluran undang-undang, pertahanan dan diplomatik.
“Kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau.
“Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan,” titah baginda.
Baginda bertitah sedemikian sewaktu menyampaikan Titah Diraja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Parlimen, hari ini.
Sultan Ibrahim turut bertitah agar usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera terus diperhebat khusus dalam membantu nasib para pekebun kecil, nelayan dan penternak.
Titah baginda, perkara itu penting seiring dengan hal-hal lain terkait sektor pendidikan, teknikal dan pembangunan termasuk pembangunan belia.
“Agenda memperkasa ekonomi bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat kerajaan mesti terus dilaksanakan.
“Kerajaan perlu terus komited memberikan peluang kepada setiap rakyat memiliki rumah kediaman mampu dibeli.
“Penyediaan infrastruktur asas, kemudahan Kesihatan dan pendidikan hendaklah terus ditambah baik. Langkah kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan belia akan melahirkan generasi masa hadapan berkualiti,” titah baginda lagi.
Post a Comment