WEF2025: Misi Anwar Julang ASEAN dan Malaysia di Pentas Global

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Davos, Switzerland dengan misi penting: memperkukuhkan kedudukan ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai tumpuan pelabur global di Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Sebagai pemimpin negara dan Pengerusi ASEAN 2025, kehadiran Anwar membawa harapan besar untuk mengetengahkan visi strategik rantau ini sambil menarik perhatian dunia terhadap potensi ekonomi Malaysia. Lawatan ini juga menandakan penyertaan sulung beliau di WEF sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, menjadikannya antara acara utama dalam kalendar diplomasi Malaysia.

Anwar bukan Perdana Menteri Malaysia pertama yang menyertai forum berprestij ini—Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Najib Razak pernah menjadi sebahagian daripada perbincangan global di Davos. Namun, kehadiran Anwar kali ini dianggap lebih signifikan. Dengan tugas tambahan sebagai Pengerusi ASEAN, beliau bukan sahaja membawa suara Malaysia tetapi juga mewakili kepentingan kolektif blok serantau yang berpotensi menjadi antara kuasa ekonomi dunia.

Forum ini diadakan pada saat dunia menghadapi cabaran ekonomi, geopolitik, dan krisis perubahan iklim yang semakin kritikal. Kehadiran Anwar di WEF2025 dijangka memberi impak besar dalam memperkukuhkan daya saing ASEAN, menarik pelaburan strategik ke Malaysia, dan membina jaringan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh. Penampilannya kini menjadi tumpuan pemimpin global dan komuniti pelabur yang melihat potensi Malaysia dan ASEAN sebagai pemain utama dalam membentuk masa depan ekonomi global.

Kenapa Kehadiran Anwar di WEF2025 Dianggap Penting?

Kehadiran Anwar di WEF memberi peluang untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di ASEAN.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1971, WEF telah berperanan dalam membentuk agenda ekonomi global. Forum ini membantu menetapkan isu-isu berkaitan yang perlu diberi perhatian dan tindakan oleh pemimpin dunia.

Dengan perubahan landskap ekonomi global, Anwar dijangka menonjolkan dasar mesra pelaburan Malaysia yang menumpukan pada teknologi hijau, digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) khasnya, dan pembangunan mampan.

Manakala sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar memainkan peranan penting untuk mempromosikan ASEAN sebagai blok ekonomi yang kukuh. Dengan lebih 680 juta penduduk dan pertumbuhan ekonomi yang pesat, Anwar dijangka mengetengahkan peranan ASEAN dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim, transformasi digital, dan krisis rantai bekalan.

Dalam suasana geopolitik yang semakin tegang, Anwar dijangka menjadi suara pendamai, menyeru kepada kerjasama ekonomi antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China. Anwar yang juga Menteri Kewangan berhasrat menjadikan ASEAN sebagai “jambatan” untuk menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan rentas sempadan.

Menurut Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Datuk Nadzirah Osman Anwar menjadi suara bagi 10 negara anggota ASEAN di peringkat global.

“Keberadaan Perdana Menteri Anwar di Davos adalah penting kerana ia memperkukuh pendirian kolektif ASEAN terhadap isu global utama sambil mencipta peluang untuk perkongsian strategik,” katanya.

Beliau berkata penglibatan Perdana Menteri akan mengukuhkan imej negara, dan ia selari dengan penganjuran ASEAN-Malaysia 2025. Antara lain, beliau berkata kehadiran Anwar dilihat mewujudkan peluang signifikan dalam menarik perdagangan dan pelaburan baharu yang selari dengan matlamat ekonomi jangka panjang Malaysia.

Apa yang Anwar Akan Lakukan di WEF?

Anwar akan memimpin sesi “Dialog Strategi Negara” bersama pemimpin perniagaan global, di mana beliau akan menggariskan hala tuju strategik Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan. Fokus utama ialah usaha memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia melalui inovasi dan kerjasama antarabangsa.

Anwar juga akan menghadiri Taklimat Digital ASEAN. Dalam sesi bertajuk “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness”, Anwar dijangka mengetengahkan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang berpotensi merevolusi ekonomi digital rantau ini. Sesi itu dianggap penting untuk menarik pelabur global melihat peluang ekonomi digital di ASEAN.

Selain itu Perdana Menteri akan terlibat dalam ucapan plenari ASEAN. Dalam sesi bertajuk “Even Stronger Together”, Anwar akan memberikan ucaptama mengenai keutamaan ASEAN di bawah pimpinannya.. Beliau dijangka membincangkan isu seperti peralihan tenaga baharu, sekuriti makanan, dan akses teknologi bagi membentuk landskap ekonomi global yang lebih mampan.

Anwar juga akan menghadiri mesyuarat dua hala dimana beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara dan syarikat antarabangsa seperti Google, Nestlé, dan AstraZeneca. Fokus utama ialah menjalin kerjasama strategik dalam bidang seperti kesihatan, teknologi, dan tenaga boleh diperbaharui.

Anwar turut dijadualkan menerima kunjungan hormat pengasas WEF, Klaus Schwab. Pertemuan antara Klaus Schwab dan Anwar membincangkan peranan Malaysia dalam menangani isu global seperti ketidaksamaan ekonomi dan perubahan iklim.

Harapan dan Jangkaan

Kehadiran Anwar di WEF2025 membawa harapan untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan pelabur global, sambil membuktikan ASEAN mampu menjadi kuasa ekonomi yang signifikan. Keupayaan beliau untuk menampilkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN juga penting dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berpotensi memacu ekonomi negara.

Pada masa yang sama, sebagai pemimpin reformis, beliau dijangka memperjuangkan dasar-dasar inklusif dan mampan yang dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada negara-negara membangun lain.

Dengan tema WEF tahun ini, “Collaboration for the Intelligent Age”, Anwar dijangka menyerlahkan peranan teknologi dalam menyelesaikan cabaran global, sambil memastikan negara membangun tidak ketinggalan dalam era transformasi digital ini.

Forum WEF2025 kali ini bakal menjadi medan penting bagi Anwar untuk menunjukkan kepimpinan beliau dalam membentuk wacana antarabangsa sambil memacu matlamat strategik Malaysia dan ASEAN.

Post a Comment

Previous Post Next Post