MEMBANTU rakyat Palestin yang tertindas adalah kewajipan agama dan tanggungjawab moral bagi umat Islam, tanpa perlu menunggu sehingga memiliki kekayaan atau lebihan harta.
Menurut Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar kritikan terhadap usaha Malaysia dalam membangunkan semula Gaza bersama Jepun adalah tidak berasas.
Ini kerana katanya konsep bantuan tidak seharusnya bergantung kepada kesempurnaan kewangan tetapi lebih kepada keprihatinan terhadap saudara seagama yang dizalimi.
"Seperti bersedekah, kita tidak perlu menunggu kaya untuk memberi. Kita bantu sekadar yang mampu, tetapi yang lebih penting adalah komitmen dan kesedaran bahawa ini adalah tanggungjawab bersama.
"Di Malaysia memang masih ada yang memerlukan bantuan, namun itu bukan alasan untuk menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin yang jelas dizalimi. Mereka bukan sekadar kehilangan tempat tinggal, tetapi berdepan dengan penindasan yang melampaui batas kemanusiaan," katanya kepada EdisiRakyat.
Beliau berkata demikian apabila ditanya berhubung inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Malaysia bersama Jepun membantu membangunkan Gaza semula.
Namun ia mendapat reaksi bercampur-baur daripada pelbagai pihak. Sebahagian besar masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik inisiatif ini sebagai manifestasi komitmen Malaysia terhadap keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Terdapat juga kritikan daripada pihak tertentu yang mempersoalkan sama ada langkah ini akan menjejaskan kebajikan rakyat Malaysia sendiri, terutama dalam konteks ekonomi semasa.
Mengulas lanjut Bungsu berkata bantuan kepada Gaza bukan sekadar soal kemanusiaan tetapi juga lambang solidariti umat Islam yang perlu difahami oleh semua pihak.
"Lebih 47,000 saudara kita terbunuh dalam tempoh 15 bulan ini, lebih 100,000 cedera, dan Gaza hampir musnah sepenuhnya. Ini bukan sekadar konflik biasa, tetapi satu pembersihan etnik yang terancang.
"Kita di Malaysia, Alhamdulillah, tidak menghadapi ancaman atau halangan daripada mana-mana kuasa luar untuk membantu Palestin. Bantuan kita, walaupun kecil, tetap menjadi simbol solidariti kepada saudara Islam yang telah ditindas sekian lama," tegasnya.
*Palestin Perlu Dimerdekakan*
Biarpun menyambut baik langkah Malaysia untuk bersama membangunkan semula Gaza namun beliau berharap Malaysia dibawah kepimpinan Anwae turut memberi penekanan kepada perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis.
Katanya, Malaysia mesti terus komited memperjuangkan Palestin menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Kebimbangan beliau adalah tanpa usaha membebaskan Palestin, rejim Israel boleh menyerang semula bila-bila masa.
Katanya, ia bukan mustahil ekoran dari rekod Israel yang tidak pernah menghormati mana-mana perjanjian.
"Israel tak peduli keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, tak peduli dengan keputusan Majlis Keselamatan PBB, apa sahaja keputusan masyarakat antarabangsa. Sudah lebih 500 perjanjian dilanggar Israel.
"Isu pertama sebelum dibangunkan, selesaikan perkara yang asas dulu iaitu kebebasan Palestin.
"Bantuan akan datang kemudian, tapi bantuan kebendaan tanpa wujud bantuan kemanusiaan politik bebaskan Palestin, kita akan balik pada perkara yang sama," katanya.
Selepas perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel, Perdana Menteri menyatakan kesediaan Malaysia untuk membantu membangunkan semula Gaza dengqn kerjasama Jepun.
Beliau mengumumkan bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai langkah permulaan dalam usaha tersebut.
Anwar menganggarkan bahawa kos pembangunan semula Gaza boleh mencecah AS$1 trilion, memandangkan tahap kemusnahan yang sangat besa
Langkah itu menjadikan Malaysia bakal menjadi negara ASEAN pertama yang membangunkan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, sebuah projek berimpak tinggi di bawah.
Antara komponen utama projek ini termasuk pembinaan 14 blok pangsapuri wakaf mewakili semua negeri di Malaysia, Masjid Berkembar Shah Alam, menara tangki air, pangsapuri Selangor, Sekolah Malaysia, hospital, dan kemudahan komuniti lain.
Majlis pelancaran Projek Bandar Wakaf di Gaza dijangka akan adakan selepas Ramadan ini. — EdisiRakyat.com, 31 Jan 2025
Post a Comment