Potongan kadar tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina

KERAJAAN mengambil keputusan untuk memberi potongan 50 peratus bagi kadar tol biasa bersempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina, tahun ini.
 
Keputusan dibuat selepas mengambil kira implikasi kewangan ditanggung kerajaan bagi membayar semula pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol terlibat yang dianggarkan berjumlah melebihi RM20.08 juta.
 
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma bersempena musim perayaan sepatutnya berakhir pada sambutan Krismas, tahun lalu.
 
Namun, hasil keputusan Mesyuarat Kabinet pada Jumaat menetapkan bahawa kerajaan bersedia memberikan potongan 50 peratus bagi kadar tol bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
 
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.
 
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Sebelum ini, kerajaan telah membelanjakan RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari tahun 2023 hingga 2024.
 
Potongan 50 peratus dari kadar biasa tol akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa).
 
Antara kenderaan terlibat adalah bagi jenis kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
 
Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
 
Pengguna jalan raya juga disarankan memuat-turun aplikasi MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pemanduan. — EdisiRakyat.com, 24 Jan 2025

Post a Comment

Previous Post Next Post