MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan seorang peguam, Dr. Shamsher Singh Thind, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sekatan yang dikenakan ke atas hantaran Facebook miliknya pada tahun lalu.
Memetik daripada portal FMT, Hakim Anand Ponnudurai menyampai keputusan tidak memihak kepada peguam itu menerusi aplikasi Zoom.
Hakim menetapkan bahawa tindakan MCMC bukanlah satu keputusan yang boleh disemak oleh mahkamah. Hakim menjelaskan bahawa keputusan untuk menyekat hantaran tersebut dibuat oleh Facebook dan bukan oleh MCMC, justeru ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Hakim turut menyatakan bahawa platform media sosial mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal kandungan mereka, walaupun digesa oleh pengawal selia seperti MCMC.
Sebelum ini, peguam Shamsher Singh yang diwakili oleh A. Srimurugan, berhujah bahawa anak guamnya mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa MCMC tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengeluarkan arahan tersebut. Srimurugan menegaskan bahawa walaupun tindakan itu disebut sebagai “permintaan pentadbiran”, anak guamnya mentafsirkan ia sebagai satu bentuk arahan yang mengikat.
“Walaupun ia dipanggil permintaan pentadbiran, tindakan ini perlu disemak oleh mahkamah. Peguam Negara dalam afidavitnya merujuknya sebagai permintaan pentadbiran, manakala Facebook menyebutnya sebagai permintaan undang-undang. Isunya terletak pada label yang digunakan, tetapi kami mentafsirkannya sebagai arahan atau perintah daripada MCMC,” jelas Srimurugan.
Pada Mei lalu, Shamsher memfailkan permohonan untuk membatalkan permintaan pentadbiran MCMC yang menyebabkan hantaran Facebook miliknya disekat daripada dilihat oleh pengguna di Malaysia. Dalam permohonan itu, beliau mendakwa MCMC telah melanggar hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dengan menyekat hantaran tersebut.
Shamsher juga meminta mahkamah mengisytiharkan tindakan MCMC tidak sah dan mengarahkan suruhanjaya itu menarik balik “arahan” kepada Facebook untuk menyekat hantaran berkenaan. Hantaran Facebook yang disekat itu mengaitkan pemberian kontrak kerajaan kepada suami seorang menteri kabinet, yang kemudian mencetuskan perdebatan hangat dalam talian.
Sementara itu, Peguam Negara dalam hujah bertulisnya meminta supaya permohonan itu ditolak dengan alasan bahawa permintaan pentadbiran MCMC “tidak boleh disemak melalui permohonan semakan kehakiman.”
Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat keputusan mengenai kos. Dalam kes ini, Peguam Negara diwakili oleh peguam persekutuan Aliza Jamaluddin.
Post a Comment