BANTUAN Khas Kewangan Tahun 2025 membuktikan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan untuk memastikan kebajikan penjawat awam serta para pesara terus terbela.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE), Mohd Hassanal Bolqiah Mohd Yusoff berkata, bantuan itu diyakini dapat meringankan beban penjawat awam serta para pesara.
Jelasnya, bantuan khas kewangan terbabit adalah suatu dinanti-nantikan terutama kepada mereka bergelar ibu bapa yang amat memerlukan sokongan kewangan tambahan bagi perbelanjaan barangan persekolahan anak-anak.
“Bantuan ini setidak-tidaknya dapat mengurangkan beban para penjawat awam dan para pesara yang layak. Mungkin ada di antara kita melihat bantuan itu kecil jumlahnya tetapi, bagi mereka yang sangat memerlukan sokongan kewangan ia cukup bermakna.
“Misalnya, ibu bapa yang terpaksa berbelanja untuk keperluan barangan persekolahan anak-anak. Ini (bantuan kewangan) sudah tentu mengurangkan beban mereka secara tidak langsung,” katanya ketika dihubungi Edisi Rakyat, hari ini.
Sementara itu, orang ramai ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana terus peka dengan nasib penjawat awam dan para pesara.
Yushatikah Azira Ahmad Rohaini, 27, yang merupakan kakitangan awam menyifatkan bantuan kerajaan adalah cukup bermakna semangat untuk terus menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada negara.
“Saya mengucapkan rasa syukur dan terima kasih di atas bantuan ini. Ia pasti memberi sedikit nafas lega kerana wang lebihan ini boleh dibelanjakan untuk keperluan mendesak.
“Bantuan ini juga juga menjadi suntikan untuk kami para penjawat awam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara,” katanya.
Nurhidayu Ramli, 30, juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mementingkan kebajikan penjawat awam.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang sentiasa peka dengan nasib kami penjawat awam. Bantuan ini bolehlah kami para ibu bapa berbelanja untuk barang persekolahan anak-anak,” katanya ketika ditemui Edisi Rakyat.
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2025 akan mula disalurkan kepada individu terlibat bermula 25 Februari depan.
Pegawai Awam Gred 15 dan ke bawah termasuk kakitangan lantikan kontrak layak menerima bantuan berjumlah RM500. Para pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen pula bakal menerima RM250.
Post a Comment