Pelesenan Media Sosial: Usaha Kerajaan Tangani Ancaman Siber dan Lindungi Pengguna

LANGKAH kerajaan Malaysia memperkenalkan pelesenan platform media sosial dijangka menjadi penanda aras baharu dalam menangani ancaman jenayah siber seperti penipuan dalam talian, eksploitasi kanak-kanak, dan penyebaran berita palsu.

Menurut pakar, usaha ini sebagai satu keperluan mendesak untuk melindungi pengguna dan memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dimuat naik.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi  Universiti Institut Teknologi Mara UiTM Prof Madya Dr Suhaimee Saabar
Prof Madya Dr Suhaimee Saabar


Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi  Universiti Institut Teknologi Mara UiTM Prof Madya Dr Suhaimee Saabar berkata langkah itu untuk menyeimbangkan kebebasan bersuara dengan tanggungjawab sosial.

“Peraturan ini sebenarnya tidak menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bertujuan untuk mengubah pemikiran rakyat dan platform media sosial. 

“Mereka perlu mempunyai etika dan tanggungjawab dalam memastikan setiap kandungan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada EdisiRakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan menguatkuasakan pelesenan media sosial bermula tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan bahawa empat platform utama media sosial telah mengambil inisiatif memohon lesen untuk mematuhi undang-undang baharu ini.

Tencent (WeChat) menjadi penyedia perkhidmatan pertama yang berjaya memperoleh Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)). ByteDance (TikTok) turut menyusul dengan mendapatkan lesen mereka, manakala Telegram kini berada di peringkat akhir proses pelesenan.

Meta, yang mengendalikan Facebook, Instagram, dan WhatsApp, telah memulakan proses permohonan lesen yang dijangka selesai tidak lama lagi. Namun, X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang menguruskan YouTube, masih belum memohon lesen.

MCMC kini sedang menyiasat jumlah pengguna X di Malaysia, yang dikatakan tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna seperti yang disyaratkan.

Menurut MCMC, keperluan pelesenan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian dan melindungi lebih lapan juta pengguna, khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.

Penyedia platform yang gagal mematuhi syarat pelesenan ini berisiko berdepan siasatan dan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Pemantauan Lebih Berstuktur

Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata langkah tersebut membolehkan kerajaan mempunyai kawalan terhadap algoritma, yang penting dalam mengekang penularan berita palsu dalam platform media sosial.

“Sebelum ini, kerajaan tidak mempunyai kawalan terhadap algoritma kerana ia dibawah pengendalian platform media sosial sepenuhnya.

“Dengan pelesenan, kerajaan boleh meminta laporan berkala daripada platform media sosial mengenai cara algoritma mereka berfungsi. 

“Ini penting untuk memastikan kandungan palsu atau berbahaya tidak menjadi tular,” katanya.

Turut senada, Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid, menegaskan bahawa pelesenan ini penting untuk membanteras jenayah siber, terutama yang melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata penipuan dalam talian, eksploitasi kanak-kanak, dan penyebaran berita palsu adalah cabaran utama yang memerlukan tindakan tegas.

“Bagi saya, dari sudut jenayah, pengekangan jenayah dan dari sudut keselamatan, saya alu-alukan usaha ini.

“Kerana sebelum ini, tiada pemantauan berstruktur dari sudut kerajaan, hanya pihak media sosial sahaja yang mengawalnya,” jelasnya.

Pelesenan ini akan memastikan pemantauan yang lebih berstruktur terhadap kandungan digital.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memberikan lebih penjelasan kepada orang ramai.

Ini katanya seperti menyediakan data perbandingan jenayah siber sebelum dan selepas pelaksanaan untuk menunjukkan keberkesanan pelesenan.


Cabaran Pelaksanaan dan Kebebasan Bersuara

Pakar keselamatan siber dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. M. Selvakumar, pula berkata langkah pelesenan ini akan menutup jurang kawalan terhadap platform media sosial yang selama ini beroperasi tanpa peraturan ketat.

Pakar keselamatan siber dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. M. Selvakumar
Prof. Madya Dr. M. Selvakumar


Malah, katanya, langkah pelesenan ini bukan hanya memastikan platform bertanggungjawab, tetapi juga membawa keadilan kepada ekosistem media di Malaysia.

“Kesan negatif media sosial sudah terlalu ketara, daripada penyebaran maklumat palsu hingga kepada ketidakseimbangan ekonomi yang memberi tekanan kepada media tempatan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pelesenan akan memastikan platform media sosial mematuhi garis panduan tertentu, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan adil.

“Masyarakat kita semakin bergantung kepada media sosial untuk komunikasi, pendidikan, dan sumber pendapatan.

“Langkah ini memastikan platform tersebut berfungsi dalam rangka kerja yang melindungi pengguna tanpa mengorbankan kebebasan mereka,” tambahnya.

Beliau berkata walaupun langkah ini mendapat sokongan meluas, pelaksanaannya juga diakui mencabar.

Salah satu isu utama adalah memastikan kebebasan bersuara rakyat Malaysia tidak terjejas.

“Memang agak mencabar, tetapi ia perlu dilakukan. Walaupun ia mungkin mengambil masa, tindakan ini perlu diambil sekarang kerana kesan media sosial amat dirasai, sama ada dari segi negatif atau positif.

“Kerajaan sememangnya perlu bertindak demi kebaikan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post