Malaysia Berpotensi Jadi Peneraju AI Global, Kata Pakar

MALAYSIA mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital Asia, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Menurut pakar siber keselamatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya M. Selvakumar, hal itu dikukuhkan dengan perkembangan terbaharu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengenai kerjasama dalam teknologi AI.
Beliau berkata, perjanjian MoU itu adalah salah satu bukti keyakinan pelabur luar negara terhadap kemampuan Malaysia untuk menerajui sektor tersebut.

"Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara tetapi juga memberi peluang kepada Malaysia untuk mempercepatkan pendigitalan negara, dengan sokongan infrastruktur dan pembangunan bakat yang lebih kukuh," katanya kepada Edisi Rakyat.

Perjanjian MoU Diterajui Inisiatif MMAI

Malaysia dan UAE telah menandatangani MoU untuk memperkuat kerjasama dalam bidang AI sebagai sebahagian daripada Inisiatif Kecerdasan Buatan Madani Malaysia (MMAI).

Perjanjian itu dimeterai semasa rangka kerja lawatan Anwar Ibrahim ke negara itu.

MoU dengan UAE bertujuan untuk menggunakan AI dan analisis data lanjutan bagi meningkatkan keselamatan masyarakat, keselamatan negara, dan kecekapan operasi.

Kerjasama ini merangkumi pembangunan sistem keselamatan negara berasaskan AI, pembangunan pusat data komputasi tinggi, dan peningkatan proses pengumpulan cukai kastam.

Pelaburan Digital Kukuhkan Ekonomi Malaysia

Sebelum ini, Malaysia turut menerima pelaburan besar dalam bidang teknologi daripada syarikat global seperti Amazon Web Services, Google, Microsoft, dan Oracle.

Ekonomi digital kini menjadi salah satu sektor utama Malaysia, menyumbang lebih 22% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.

Data rasmi menunjukkan pelaburan berkaitan digital berjumlah RM66.22 bilion dicatatkan pada separuh pertama 2024, melebihi keseluruhan tahun sebelumnya.

Penumpuan kerajaan dalam sektor itu adalah selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam AI.

Cabaran dan Usaha Kerajaan untuk Kekal Kompetitif

Mengulas lanjut, Selvakumar berkata Malaysia mempunyai kelebihan lokasi strategik dan ekosistem teknologi yang semakin berkembang, yang membolehkannya menjadi hab digital utama di Asia.

Namun, beliau turut menekankan cabaran seperti kekurangan bakat dalam bidang AI, sains data, dan keselamatan siber yang masih memerlukan perhatian serius.

Selain itu, beliau membangkitkan kebimbangan terhadap faktor geopolitik dan keputusan sekatan oleh Amerika Syarikat terhadap cip pusat data berprestasi tinggi di Malaysia yang boleh memberi kesan terhadap pembangunan AI.

Tambahan pula, beliau berkata wujud persaingan daripada pemain serantau seperti Singapura dan Indonesia yang turut mengejar matlamat sama.

"Namun saya yakin kerajaan kita boleh menangani cabaran ini dan sedang mengambil pelbagai tindakan secara proaktif melalui pewujudan beberapa inisiatif berkaitan," katanya.

Rangka Tindakan Digital dan Pelan AI untuk Masa Depan

Inisiatif itu katanya seperti Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) bertujuan mempercepatkan pendigitalan di peringkat nasional dan memupuk ekonomi digital yang kukuh.

Selain itu, adalah penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang berperanan menggariskan strategi komprehensif untuk pembangunan AI, dengan fokus pada pembangunan bakat, R&D, dan pelaksanaan AI yang beretika.


Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Bakat AI untuk Malaysia 2024-2030 yang baru-baru ini dilancarkan bertujuan membangunkan tenaga kerja AI yang mahir juga mengukuhkan lagi usaha Malaysia menjadi peneraju dalam sektor itu.

Beliau turut menyarankan agar Malaysia terus berusaha mempelbagaikan rantaian bekalan dan memupuk inovasi semikonduktor tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

"Lokasi strategik Malaysia dengan ekosistem teknologi yang semakin berkembang, serta program seperti program perintis AI Sandbox untuk menggalakkan startup AI, dapat menyediakan asas yang kukuh untuk mencapai aspirasi negara untuk menjadi hab digital yang unggul," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post