Kritik bantuan Malaysia untuk Palestin, sifat ihsan Rafidah dipersoal

KENYATAAN Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengkritik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat menghulurkan bantuan kepada warga Palestin adalah bersifat dangkal.
 

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Amidi Abdul Manan berkata, tindakan Rafidah adalah tidak wajar serta seolah-olah tidak memahami hal ehwal hubungan antarabangsa.
 
Jelas Amidi, Rafidah juga tidak mempunyai rasa simpati terhadap nasib penduduk Palestin yang berdepan kekejaman rejim Zionis yang memakan masa puluhan tahun lamanya.
 
"Selaku individu atau pemimpin yang memahami selok-belok hubungan antarabangsa seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
 
"Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana desakan antarabangsa, khususnya penyelesaian dua negara walau telah diputuskan di peringkat PBB. ⁠Oleh yang demikian kenyataan Tan Sri Rafidah seolah-olah menunggu kucing bertanduk," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
 
Semalam, Anwar mengumumkan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Jepun untuk membangunkan semula wilayah Gaza di bawah satu program khas.
 
Antara bantuan yang bakal dihulurkan termasuk pembinaan sekolah, hospital dan masjid memandangkan banyak kemudahan terbabit telah musnah akibat serangan rejim Zionis.
 
Bagaimanapun, pengumuman Anwar mendapat reaksi kurang memuaskan daripada Rafidah yang menyifatkan bantuan harus diutamakan kepada pembangunan negara.
 
Pada masa sama, Rafidah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Dana Kemanusiaan Khas sekiranya konflik di Gaza dapat diselesaikan dengan jelas selain semua pihak menerima syarat dipersetujui.

Sementara itu, Amidi turut mempersoalkan mengenai pendirian Rafidah mengenai pelaksanaan projek mega ketika beliau masih berada dalam Kabinet pada suatu ketika dahulu.

Soal Amidi, ketika projek mega diluluskan oleh kepimpinan terdahulu adakah nasib rakyat telah terbela sepenuhnya sedangkan masih terdapat banyak sekolah serta hospital daif belum dinaik taraf terutama di kawasan pendalaman.

"Kenapa dilaksanakan projek mega ketika Tan Sri sebagai anggota kabinet sedangkan ketika itu wujud juga sekolah daif di luar bandar, jalan rosak dan hospital uzur di pedalaman negara?

"⁠Alangkah baiknya jika kos patung helang di Langkawi digunakan untuk membaiki sekolah daif di Kedah itu sendiri. Apakah nilai atau manfaat yang diperolehi oleh rakyat terbanyak dengan Litar Lumba F1 di Sepang?

"Adakah Tan Sri akan tersenyum gembira, tatkala negara kita dirundung musibah dan memerlukan bantuan asing, semua negara memberikan alasan masih ada sekolah daif di negara mereka dan masih ada hospital yang uzur perlu diberikan perhatian?" katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post