Kiosk Sentuhan MADANI lancarkan urusan rakyat, bukti kesungguhan kerajaan beri perkhidmatan terbaik

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pengenalan Kiosk Sentuhan MADANI dapat memudahkan urusan rakyat terkait perkhidmatan daripada beberapa agensi utama kerajaan. 

Anwar berkata, kewujudan kiosk tersebut bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat malah, ia juga bukti kesungguhan serta usaha jitu dalam menambah baik fungsi perkhidmatan awam. 

Jelas Anwar, perkhidmatan ditawarkan menerusi Kiosk Sentuhan MADANI juga tepat pada masanya memandangkan dapat memudahkan urusan rakyat dengan cepat dan cekap. 

“Alhamdulillah, Kiosk Sentuhan MADANI pertama telah berjaya diwujudkan di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya yang merupakan prakarsa terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
Ini satu lagi prakarsa penting daripada kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan masa kini rakyat, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Terdahulu, Anwar yang hadir di lokasi pemasangan kiosk tersebut mengakui sempat mencuba beberapa perkhidmatan yang tersedia. Kiosk tersebut melibatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID. 

Objektif pemasangan Kiosk Sentuhan MADANI adalah supaya orang ramai dapat melakukan urusan melibatkan agensi kerajaan dengan mudah khusus di luar waktu pejabat. 

Kiosk Sentuhan MADANI yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 9 Januari lalu dijangka akan ditempatkan di lebih 90 lokasi terpilih seluruh negara. Kiosk kedua dijangkan akan beroperasi di Sentral Kuala Lumpur pada Februari ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post