USAHA kerajaan untuk membangunkan semula wilayah Gaza di Palestin mendapat pujian dan reaksi positif dalam kalangan orang ramai.
Rata-rata mereka ditemui Edisi Rakyat berkata, usaha dibuat kerajaan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai berperikemanusiaan selain menjadi bukti keprihatinan negara terhadap penduduk Palestin.
Fatimah Din, 40, pada masa sama berharap usaha ingin dilakukan Malaysia dapat dipercepatkan demi kebajikan rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas rejim Zionis.
"Saya puji Anwar yang peka dengan nasib rakyat Palestin. Semoga bantuan ini dapat dipercepatkan kerana sudah lama mereka (rakyat Palestin) diseksa oleh tentera Israel," katanya.
Sementara itu, Zahid Abdul Sani, 34, menyatakan keyakinan bahawa usaha dilakukan kerajaan Malaysia akan menjadi contoh dan ikutan negara lain.
"Apa yang Malaysia lakukan ini adalah perkara betul. Rakyat Palestin harus dibela dan dibantu dengan sebaik mungkin.
"Saya juga yakin Malaysia akan jadi contoh dan ikutan oleh lain-lain negara yang simpati dengan nasib Palestin," katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan kerjasama Malaysia dan Jepun untuk bagi melaksanakan program pembangunan semula Gaza.
Hasrat itu akan direalisasikan dengan menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur iaitu program Asia Timur untuk Membangunkan Gaza (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Antara bantuan bakal dihulurkan termasuk pembinaan hospital, sekolah dan masjid untuk kegunaan penduduk Gaza.
Post a Comment