MALAYSIA perlu memainkan peranan utama dalam menggerakkan usaha menyelesaikan krisis Myanmar selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan ASEAN bertindak lebih tegas dan berkesan dalam menangani isu tersebut, dengan menekankan keperluan penyelesaian diplomatik yang berasaskan prinsip kemanusiaan dan kestabilan serantau.
Anwar menegaskan bahawa kestabilan Myanmar adalah penting bukan sahaja bagi rakyat negara itu tetapi juga untuk keseluruhan ASEAN.
Krisis yang berlarutan telah menyebabkan gelombang pelarian ke negara jiran, ketidakstabilan politik, dan kelembapan ekonomi serantau.
Malaysia, sebagai salah satu negara yang menampung pelarian Myanmar, melihat perlunya penyelesaian jangka panjang yang boleh memulihkan keadaan politik dan ekonomi negara itu.
Menurut Pemerhati Hubungan Antarabangsa dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Nur Ashikin Yusof, Malaysia berperanan penting dalam mempengaruhi tindakan ASEAN terutama dalam memastikan kesepakatan kolektif bagi memberi tekanan kepada junta Myanmar supaya berunding dengan pihak pembangkang.
"Usaha Malaysia untuk memastikan konsensus bersama dan pendekatan diplomatik yang lebih konstruktif berpotensi membawa kesan positif terhadap penyelesaian krisis ini," katanya kepada EdisiRakyat.
Namun, beliau mengakui cabaran utama termasuk ketidaksepakatan dalam kalangan negara anggota serta perbezaan kepentingan geopolitik yang boleh merumitkan usaha tersebut.
"Melalui platform ASEAN, Malaysia berpeluang memimpin dengan contoh, membentuk pendirian lebih kukuh, serta memastikan prinsip hak asasi manusia, kestabilan serantau, dan kerjasama diplomatik dipertahankan dalam setiap langkah yang diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peranan Malaysia dan cabaran sebagai Pengerusi ASEAN dalam menggerakkan usaha keamanan di Myanmar.
Sidang ASEAN 2025, yang dipengerusikan Malaysia, dijangka memberi tumpuan kepada penyelesaian krisis Myanmar, termasuk menilai semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui ASEAN pada 2021.
Malaysia sebelum ini menggesa supaya pendekatan lebih tegas diambil terhadap junta Myanmar, termasuk kemungkinan meningkatkan tekanan diplomatik dan sekatan sekiranya mereka terus mengabaikan komitmen yang telah dipersetujui.
Malaysia telah menggesa junta Myanmar supaya menghentikan keganasan terhadap rakyat dan memulakan rundingan inklusif dengan pihak pembangkang, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang dianggotai pemimpin pro-demokrasi.
Kepentingan kestabilan Myanmar kepada ASEAN juga berkait rapat dengan perdagangan dan pelaburan.
Myanmar merupakan sebahagian daripada ASEAN Economic Community (AEC), dan ketidakstabilan di negara itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap rantau ini secara keseluruhan.
Keadaan yang tidak menentu juga menghalang kemajuan inisiatif ekonomi ASEAN, termasuk integrasi perdagangan dan pembangunan infrastruktur serantau.
Selain itu, krisis di Myanmar turut mencetuskan ancaman keselamatan serantau, termasuk peningkatan aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan manusia, dan kemungkinan pertumbuhan kumpulan militan akibat ketidakstabilan politik yang berpanjangan.
Oleh itu, Malaysia melihat penyelesaian krisis ini sebagai langkah strategik untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan ASEAN secara menyeluruh.
Kepengerusian Malaysia juga dijangka menumpukan kepada reformasi dalam pendekatan ASEAN terhadap Myanmar, dengan menilai keberkesanan mekanisme sedia ada dan memperkenalkan langkah baharu yang lebih berstruktur.
Malaysia turut mendesak agar ASEAN lebih aktif melibatkan kuasa antarabangsa seperti PBB dan negara-negara utama bagi mencari penyelesaian mampan terhadap krisis tersebut.
Pada masa yang sama, Nur Ashikin menekankan kepentingan bagi Malaysia untuk kekal di tengah-tengah dalam menangani isu Myanmar, meskipun prinsip utamanya adalah menggesa negara itu mengembalikan keamanan.
Beliau berkata pendekatan ini penting bagi mengelakkan ketegangan diplomatik serta mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara.
"Malaysia harus berhati-hati agar tidak memberi tekanan berlebihan kepada Myanmar sehingga menjejaskan kepentingan ekonomi jangka panjang, sambil tetap berpegang kepada prinsip moral dan diplomatik negara.
"Malaysia perlu mengekalkan keseimbangan antara pendirian politik yang tegas dan keperluan untuk menjaga hubungan ekonomi yang saling menguntungkan," katanya.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata walaupun pendekatan Malaysia mungkin tidak menghasilkan hasil segera, diplomasi yang berterusan lebih baik daripada tindakan terburu-buru yang berpotensi memanjangkan konflik atau mencetuskan ketegangan yang lebih besar.
Menyentuh mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, pemerhati itu berkata Malaysia boleh bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain dengan membentuk pendirian yang lebih bersatu dan kuat.
"Malaysia perlu memainkan peranan sebagai pemimpin dalam memperkukuh dialog terbuka dengan Myanmar dan memastikan bahawa negara-negara ASEAN lain turut memberi sokongan kepada konsensus ini," katanya.
Pendekatan ini melibatkan perbincangan politik yang inklusif, penglibatan komuniti antarabangsa, dan penyelesaian kemanusiaan yang menyentuh kehidupan rakyat Myanmar yang terjejas.
Malaysia juga perlu menyediakan platform perbincangan di peringkat ASEAN, mempertingkatkan sokongan dari negara-negara yang lebih berpengaruh dalam organisasi ini, dan memastikan bahawa setiap langkah yang diambil berasaskan kepada prinsip hak asasi manusia, katanya.
Konsensus Lima Perkara, yang dilancarkan oleh ASEAN pada tahun 2021, bertujuan untuk mencapai pendamaian politik di Myanmar melalui dialog yang melibatkan semua pihak berkepentingan serta memberikan sokongan kepada usaha kemanusiaan.
Namun, Myanmar dilihat tidak mematuhi perjanjian tersebut, menyebabkan keperluan bagi Malaysia dan ASEAN untuk menilai semula pendekatan mereka dalam menangani krisis yang berterusan ini.
Post a Comment