Kekang berita palsu, Chatbot Sebenarnya.my dapat pujian ramai

LANGKAH kerajaan memperkenalkan chatbot Sebenarnya.my sebuah inisiatif terkini untuk memastikan rakyat mendapat maklumat sahih mendapat pujian rakyat yang menyifatkan pelaksanaan itu tepat pada masanya. 

Dari golongan pendidik hingga peniaga kecil, ramai melihat platform ini sebagai usaha proaktif kerajaan untuk memerangi berita palsu yang kian berleluasa, sekaligus mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap maklumat yang dikongsi. 

Seorang guru Raja Yong Zahariah,32 menyifatkan langkah ini sebagai usaha bijak kerajaan dalam membantu masyarakat menapis maklumat yang diterima. 

“Kami, sebagai pendidik, sering berhadapan dengan pelajar yang keliru akibat berita-berita tidak sahih. Dengan adanya platform seperti ini, saya rasa ia boleh mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab terhadap maklumat yang mereka kongsi,” katanya kepada EdisiRakyat. 

Yong Zahariah turut menyatakan keyakinannya bahawa platform seperti ini dapat menjadi panduan penting, terutama bagi golongan yang kurang arif tentang literasi digital. 

“Langkah ini bukan sahaja memberi alat untuk menyemak fakta, tetapi juga mengajar masyarakat tentang kepentingan memeriksa sesuatu sebelum mempercayainya,” katanya sambil berharap lebih ramai rakyat akan memanfaatkan teknologi ini. 

Peniaga Zamri Mat Ghani, 45 berkata, Sebenarnya.my menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesan berita palsu dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi. 

“Kami peniaga sering terkesan jika berita palsu tersebar, terutama mengenai isu harga barang atau dasar kerajaan.

Jadi, inisiatif ini seperti memberi nafas baru kerana kami tahu ada platform yang boleh diakses untuk mengesahkan sesuatu maklumat,” kata Zamri dengan nada optimis. 

Beliau turut memuji kerajaan kerana mengambil langkah untuk menjadikan teknologi seperti ini lebih inklusif. 

“Saya yakin kalau ia mudah diakses, seperti melalui WhatsApp atau aplikasi lain, ramai akan gunakannya. Ini satu inovasi yang membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi. 

Pelajar universiti Amsha Fauzi, 23 berkata bahawa chatbot ini adalah apa yang diperlukan generasi muda untuk menangani kebanjiran maklumat palsu di media sosial. 

“Kadang-kadang sukar untuk tahu mana berita yang betul dan mana yang tidak, terutama dengan berita yang tersebar di WhatsApp. Dengan adanya platform seperti ini, saya rasa lebih yakin untuk semak dulu sebelum kongsi apa-apa,” katanya.

Amsha turut menyatakan harapannya agar kerajaan terus meningkatkan fungsi dan ciri chatbot ini. 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam majlis pelancaran chatbot yang dinamakan Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) menyifatkan aplikasi itu sebagai salah satu alat penting untuk memastikan rakyat mendapatkan maklumat yang sahih. 

Sebenarnya.my akan menjadi platform mudah alih yang berfungsi untuk memeriksa kesahihan berita dan maklumat yang sering tersebar melalui pelbagai saluran media sosial, termasuk WhatsApp, Telegram, dan laman web. Berdasarkan data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 20,000 kandungan berita palsu telah dikesan tahun lalu. 

Daripada jumlah itu, 17,245 kandungan berjaya diturunkan daripada platform media sosial selepas disahkan palsu. Sehingga 27 Januari 2025, 1,575 berita palsu telah dikenal pasti, dan 1,233 daripadanya telah berjaya diambil tindakan. AIFA disediakan dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, dan Tamil.

Post a Comment

Previous Post Next Post