Malaysia dipilih sebagai negara pertama dikunjungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba selepas dilantik ke jawatan itu pada Oktober tahun lalu.
Lawatan rasmi Ishiba ke Malaysia bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara malah, membuka lebih banyak peluang serta kerjasama melibatkan pelbagai sektor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial berkata, kunjungan Ishiba disifatkan sebagai satu langkah positif selain menggambarkan hubungan akrab di Malaysia dan Jepun.
“Saya menghargai penghormatan diberikan Perdana Menteri Ishiba kepada Malaysia yang dipilih sebagai negara pertama untuk mengadakan lawatan rasmi dan mesyuarat dua hala.
Ini menggambarkan keutuhan persahabatan dan kepentingan kerjasama Malaysia-Jepun,” katanya.
Ketibaan Ishiba serta para delegasi diberikan sambutan rasmi dan penuh dengan adat istiadat di Putrajaya pada Jumaat.
Beliau turut melakukan pemeriksaan ke atas pasukan Kawalan Kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja.
Usai istiadat, Anwar dan Ishiba menghadiri mesyuarat terhad bersama para pimpinan bagi membicarakan isu-isu strategik terkait kepentingan kedua-dua negara selain membincangkan usaha bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
Post a Comment