USAHA kerajaan memperkenalkan pelesenan ke atas platform media sosial mendapat sokongan daripada ibu bapa dan pengguna internet. Mereka melihatnya sebagai usaha penting untuk melindungi golongan rentan, termasuk kanak-kanak, daripada bahaya kandungan dalam talian.
Bagaimanapun, X (dulu dikenali sebagai Twitter) dan Google (YouTube) masih belum memenuhi syarat pelesenan, dengan MCMC menyatakan mereka sedang menilai jumlah pengguna dan kepatuhan platform-platform ini terhadap peraturan. MCMC menegaskan bahawa pelesenan ini bertujuan memperkukuh keselamatan dalam talian dan melindungi lebih lapan juta pengguna internet di negara ini, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
Seorang ibu kepada empat anak, Srihanasham Noordin, 45, berkata inisiatif itu mampu memperketat kawalan terhadap kandungan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak. “Tiada sekatan umur yang ketat sebelum ini untuk membuka akaun media sosial. Sebagai ibu bapa, kami sentiasa memantau aktiviti anak-anak, tetapi pada masa sama, kami tidak mahu terlalu bertegas sehingga mereka menyembunyikan sesuatu daripada kami.
“Dalam usia remaja, mereka sudah pandai mendaftar akaun menggunakan emel sendiri, yang kami sebagai ibu bapa tiada akses,” katanya kepada EdisiRakyat.Srihanasham turut berharap kerajaan dapat menambah baik peraturan sedia ada dengan menaikkan had umur minimum untuk membuka akaun media sosial daripada 13 tahun kepada usia yang lebih tinggi.
Menurut laporan CyberSecurity Malaysia (CSM) pada 2023, lebih 20,000 insiden jenayah siber direkodkan, dengan kes penipuan dalam talian dan pencerobohan data menjadi aduan tertinggi. Selain itu, laporan UNICEF Malaysia pada 2022 mendedahkan bahawa 70% kanak-kanak di negara ini pernah terdedah kepada kandungan tidak sesuai di media sosial, termasuk eksploitasi seksual dan buli siber.
Statistik ini menekankan keperluan pelesenan media sosial bagi memastikan platform bertanggungjawab terhadap kandungan mereka, sekaligus melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak.
Seimbangkan Keselamatan dan Kebebasan Bersuara
Seorang ibu kepada tiga anak, Nor Khairana Pilus, 51, turut menyokong langkah ini, namun berharap pelaksanaannya tidak menjejaskan kebebasan bersuara. “Sebagai ibu bapa, kami lega kerana langkah ini dapat melindungi anak-anak daripada kandungan berbahaya di media sosial.Tetapi kerajaan perlu pastikan pelaksanaan ini tidak disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Zamri Ghani, 45, menyokong langkah pelesenan ini kerana percaya ia dapat menangani jenayah siber seperti penipuan pembelian dalam talian dan penyebaran berita palsu. “Saya setuju jika peraturan ini dapat mengawal jenayah siber dan kandungan berbahaya, yang sebelum ini kurang dipantau. “Namun, kerajaan perlu telus tentang cara pelesenan ini dilaksanakan supaya ia tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna,” katanya.
Peraturan Ketat di Bawah Akta 588
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelesenan platform media sosial dilaksanakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Setakat ini, platform seperti TikTok dan WeChat telah menerima lesen masing-masing, manakala Meta dan Telegram sedang melengkapkan proses pelesenan.
Bagaimanapun, X (dulu dikenali sebagai Twitter) dan Google (YouTube) masih belum memenuhi syarat pelesenan, dengan MCMC menyatakan mereka sedang menilai jumlah pengguna dan kepatuhan platform-platform ini terhadap peraturan. MCMC menegaskan bahawa pelesenan ini bertujuan memperkukuh keselamatan dalam talian dan melindungi lebih lapan juta pengguna internet di negara ini, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
Post a Comment