HASRAT Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan ASEAN sebagai peneraju dalam pembangunan sektor digital dan kecerdasan buatan (AI) selari dengan dasar Madani yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan menyeluruh.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, berkata tumpuan Anwar terhadap usaha merapatkan jurang digital di ASEAN adalah langkah strategik untuk membina masa depan yang lebih inklusif. Pendekatan ini, katanya, mencerminkan nilai-nilai Madani yang bertujuan memastikan manfaat teknologi diagihkan secara adil kepada semua lapisan masyarakat.
“Dasar Madani menekankan keadilan sosial, dan Anwar melihat teknologi sebagai kunci untuk mencapai matlamat ini. Jurang digital, terutama di negara-negara ASEAN yang kurang maju, adalah penghalang utama kepada pembangunan yang seimbang. Oleh itu, merapatkan jurang ini adalah satu keutamaan,” katanya kepada EdisiRakyat.
Dalam sidang medianya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, Anwar memberi amaran tentang risiko ASEAN ketinggalan jika isu jurang digital tidak ditangani segera.
Beliau menyatakan bahawa kekurangan infrastruktur digital di negara-negara kurang maju dalam ASEAN bukan sahaja melemahkan pembangunan ekonomi, tetapi juga mempengaruhi kestabilan sosial di rantau ini.
“Tanpa akses yang sama rata kepada teknologi digital, ASEAN tidak dapat berkembang secara adil. Ini bukan hanya tentang mengejar kemajuan teknologi, tetapi juga memastikan ia menjadi alat yang membawa manfaat kepada semua, bukan segelintir,” kata Anwar.
Anwar turut menekankan kepentingan inisiatif seperti ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh jaringan tenaga serantau. Selain menyokong pembangunan ekonomi, APG juga merupakan simbol kerjasama teknologi mampan di ASEAN.
“Jika kita dapat merealisasikan projek seperti APG dan memastikan transformasi digital melibatkan semua pihak, ASEAN akan menjadi rantau paling pesat berkembang dan stabil di dunia,” ujar Anwar.
Teknologi Digital AI Pemangkin Transformasi Sosioekonomi
Awang Azman menjelaskan bahawa Anwar percaya teknologi digital adalah pemangkin kepada transformasi sosioekonomi. Sejak dua tahun lalu, apabila Anwar ambil alih tampuk kepimpinan negara sebagai perdana menteri pelbagai inisiatif telah dimulakan untuk memastikan teknologi dapat dimanfaatkan oleh semua.
Antaranya ialah Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memperluaskan akses internet di kawasan luar bandar dan Pusat Internet Desa yang menjadi hab pembelajaran digital.
“Kerajaan sedar bahawa tanpa akses kepada teknologi, masyarakat luar bandar akan terus terpinggir. Oleh itu, pelaburan dalam infrastruktur digital adalah langkah utama untuk memastikan tiada pihak yang ketinggalan,” katanya.
Anwar juga menyokong penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyelesaikan masalah jurang sosioekonomi. Program seperti CONNECTme NOW telah dilancarkan untuk menyediakan jalur lebar satelit kepada penduduk luar bandar, manakala platform KampungDigital365.com memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk terlibat dalam pendidikan, perniagaan, dan ekonomi digital.
Pelaburan dalam Teknologi Digital dan AI di Malaysia
Komitmen Malaysia terhadap pembangunan teknologi digital dan AI telah menarik pelaburan besar daripada syarikat teknologi global. Pada Mei 2024, Microsoft mengumumkan pelaburan sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.48 bilion) untuk membangunkan infrastruktur awan dan AI di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang. Pelaburan ini merangkumi pembinaan infrastruktur digital, peluang kemahiran AI, penubuhan Pusat Kecemerlangan AI Nasional, dan peningkatan keupayaan keselamatan siber negara.
Selain itu, pada Mei 2024, Google mengumumkan pelaburan bernilai RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk menubuhkan pusat data dan wilayah awan pertama di Malaysia. Pelaburan ini dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor dan memberi impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).
Kerajaan Malaysia juga memfokuskan usaha menarik pelaburan langsung asing dan domestik bernilai tinggi dalam bidang digital tertentu seperti AI dan analitis data raya. Kementerian Komunikasi dan Digital, melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), berperanan aktif dalam menarik pelaburan dalam bidang tersebut.
Awang Azman berkata dengan pencapaian yang cemerlang ini, tidak hairanlah kemasukan pelaburan asing di Malaysia dijangka terus berkembang sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, selaras dengan usaha kerajaan memperbaiki infrastruktur digital seperti rangkaian 5G dan menambah jumlah pusat data.
“Visi Anwar adalah untuk memastikan teknologi tidak hanya menjadi alat kemajuan tetapi juga pemangkin kepada keseimbangan sosial dan ekonomi. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup rakyat, tetapi juga menjadikan Malaysia dan ASEAN sebagai kuasa besar digital di pentas dunia,” tambahnya. — EdisiRakyat.com, 24 Jan 2025
Post a Comment