PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Donald John Trump yang kini secara rasmi dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-47.
Anwar berkata, pelantikan Trump diharap dapat mengukuhkan kerjasama di antara Malaysia dan AS sekaligus memberi impak lebih positif terhadap rakyat kedua-dua negara.
“Tahniah kepada Presiden Donald J. Trump yang secara rasmi dilantik sebagai Presiden AS ke-47.
“Saya teruja untuk bekerjasama dengan Trump sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan AS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Sementara itu, menerusi hantaran sama, Anwar turut menjemput Trump untuk mengadakan kunjungan ke negara ini bersempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Tahun ini, Malaysia memainkan peranan penting selaku Pengerusi ASEAN dengan matlamat mewujudkan kerjasama secara menyeluruh mencakupi kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, pelaburan, tenaga baharu dan kecerdasan buatan (AI).
Terdahulu, Trump secara rasmi mengangkat sumpah selaku Presiden AS buat kali kedua selepas berjaya mengenepikan pesaingnya, Kamala Harris.
Trump pernah dilantik sebagai Presiden AS ke-45 pada penggal 2017-2021.
Post a Comment