PERKEMBANGAN dunia moden hari ini banyak dibantu oleh sumbangan Albert Einstein yang menghasilkan teori relativiti menerusi formula E = MC². Menerusi teori itu, kita dapat memahami konsep ruang dan masa.
Selain terkenal dengan teori fizik yang berjaya diciptakannya, ahli sains berambut kusut itu juga pernah mengeluarkan beberapa teori bagaimana untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup.
Pernah suatu hari, Albert Einstein memberikan dua keping nota kepada seorang pekerja hotel tempat dia menginap. Nota itu menulis tentang beberapa teori untuk mencapai kebahagiaan di dalam hidup.
Tanpa disangka-sangka teori itu telah mengubah kehidupan waris pekerja hotel berkenaan menjadi jutawan lebih 50 tahun selepas kematian tokoh fizik terkenal itu.
Apa yang menarik, salah satu teori itu sangat mirip dengan peribahasa popular yang diwariskan turun temurun dalam masyarakat Melayu.
Bagaimana kisah itu bermula?
Dalam bulan November tahun 1922, Einstein menginap di Imperial Hotel di Tokyo, kerana menjalankan tugasnya memberi syarahan tentang teori relativiti sebagai profesor pelawat di tujuh buah universiti di Jepun.
Ketika itu, seorang budak pekerja hotel berkenaan menyampaikan satu mesej kepadanya memberitahu bahawa dia telah mendapat Anugerah Nobel atas sumbangannya dalam bidang Fizik.
Selepas menerima mesej berkenaan, Einstein menyeluk sakunya mencari wang kecil untuk diberikan sebagai tip kepada pekerja tersebut. Malangnya, ketika itu sakunya kosong tiada wang.
Sebagai ganti, Einstein manawarkan tip dalam bentuk lain kepada pekerja hotel itu, iaitu beberapa teori untuk mencapai kebahagiaan di dalam hidup.
Einstein menulis nota ringkas di atas sekeping kertas dalam bahasa Jerman.
Dalam helaian pertama, Einstein menulis: "Kehidupan yang tenang dan sederhana memberikan lebih kebahagiaan berbanding mengejar kejayaan dengan kegelisahan,"
Manakala pada helaian kedua, dia menulis "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,"
Einstein memberitahu pekerja itu, sekiranya dia bernasib baik, nota itu mungkin akan jadi lebih berharga berbanding tip dalam bentuk wang yang biasa diterima.
Ternyata, kata-kata Einstein itu benar-benar menjadi kenyataan selepas lebih 50 tahun kematiannya, iaitu dalam bulan Oktober 2017, nota helaian pertama itu telah terjual dengan harga lelong berjumlah USD1.56 juta (RM6.3 juta) manakala helaian kedua juga terjual pada harga USD250,000 (RM1 juta) di Winner's Auctions and Exhibition di Jerusalem.
Kejadian itu sekaligus menjadikan Albert Einstein dimasukkan dalam senarai sebagai salah seorang dermawan paling pemurah dalam sejarah.
Meni Chadad, jurucakap rumah lelongan itu memberitahu beberapa bulan sebelum itu ia telah dihubungi oleh seorang cucu kepada saudara budak pekerja hotel berkenaan.
Selepas mengesahkan dokumen-dokumen berkenaan, rumah lelongan itu menjangkakan nota tersebut dapat terjual pada harga antara USD5,000 hingga USD8,000.
Lelongan dimulakan pada harga USD2,000 namun tanpa disangka-sangka ia melonjak kepada nilai 6 angka. Katanya, jualan itu merupakan harga paling tinggi dalam sejarah lelongan dokumen di Israel.
Jika kita lihat, pada helaian kedua teori yang ditulis oleh Albert Einstein itu, sama maksud dengan peribahasa Melayu yang telah diwarisi dan diamalkan turun temurun oleh masyarakat Melayu iaitu:
"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,"
Terdapat juga beberapa lagi peribahasa Melayu yang membawa maksud hampir serupa antaranya:
"Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," dan "Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,"
Ketiga-tiga peribahasa ini merujuk kepada keazaman, kesungguhan, dan kemahuan seseorang di dalam mengejar objektif atau cita-cita.
Jika ada azam yang kuat untuk melakukan sesuatu perkara, pasti akan bertemu jalan untuk melakukan perkara itu. — EdisiRakyat.com, 15 Januari 2020
Rujukan — nytimes.com | exhibits.uflib.ufl.edu | bbc.com
Post a Comment