BAGI mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi, kajian terbaru mendapati aktiviti senaman meregang otot lebih baik daripada berjalan.
"Setiap orang berfikir seneman meregang hanyalah meregangkan otot kita," kata Phil Chilibeck, yang menjalankan kajian biomekanik dan pergerakan manusia (kinesiologi) di University of Saskatoon, Kanada.
"Namun apabila kamu meregangkan otot-otot, kamu juga meregangkan semua salur-salur darah yang membekalkan darah kepada otot, termasuk semua arteri,"
Tindakan ini dapat mengurangkan salur arteri yang kaku, sekaligus mengurangkan halangan kepada aliran darah, seterusnya membawa kepada merendahkan tekanan peredaran darah di seluruh tubuh.
Tekanan darah tinggi adalah punca utama kepada penyakit-penyakit kardiovaskular, yang juga merupakan punca kematian nombor satu di seluruh dunia.
Banyak langkah yang boleh diambil untuk menurunkan tekanan darah, seperti mengurangkan pengambilan garam, alkohol, atau melebihkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
Selepas munculnya hasil kajian terbaru ini, sudah tentu anda boleh menambahkan aktiviti senaman meregangkan otot dalam senarai kegiatan harian.
Beberapa Kajian yang dijalankan terhadap haiwan dan manusia sebelum ini menunjukkan bagaimana aktiviti regangan tubuh boleh meningkatkan kadar aliran darah kepada otototot dan tisu badan.
Salah satu kajian yang dijalankan juga mendapati bahawa 'stretching' merupakan satu kaedah berkesan untuk wanita (dengan tekanan darah yang normal) untuk mengurangkan tekanan darah semasa hamil, dan ia lebih berkesan berbanding melakukan aktiviti berjalan.
Selain itu kegiatan meregangkan badan juga meningkatkan tisu-tisu penghubung, meningkatkan keanjalan, dan juga membantu badan kita untuk menyesuaikan diri dengan senaman.
Kajian ini membandingkan secara terus antara kegiatan regangan berbanding aktiviti berjalan cepat, dalam satu ujian yang dijalankan selama lapan minggu melibatkan individu yang mengalami peningkatan tekanan darah sederhana.
Hampir 40 orang lelaki dan wanita dengan usia purata 61 tahun telah menghabiskan ujian tersebut. Para peserta tidak diberitahu ujian apakah yang sedang dilakukan ke atas mereka.
Mereka hanya perlu menyelesaikan senaman yang diaturkan sama ada perlu melakukan regangan tubuh atau berjalan.
Sebuah kumpulan melakukan sesi regangan selama 30 minit sebanyak lima kali seminggu, manakala yang lain diminta berjalan dengan tempoh masa yang sama, dan juga disuruh berjalan laju bagi meningkatkan kadar degupan jantung mereka.
Sebelum dan selepas program selama lapan minggu itu, pasukan penyelidik mengambil bacaan tekanan darah peserta melalui tiga kaedah iaitu — Ketika mereka sedang duduk, berbaring dalam posisi terlentang, dan pemantauan 24 jam menggunakan sejenis pemantau tekanan darah 'portable'
Difahamkan juga kedua-dua kumpulan itu mempunyai kadar pengambilan garam yang sama, dan penilaian juga menunjukkan peserta tidak mengurangkan aktiviti fizikal biasa dengan senaman tambahan yang diberikan, sebaliknya mereka melakukannya sebagai tambahan kepada rutin harian.
Selepas 8 minggu, hasil bacaan tekanan darah menunjukkan bahawa kumpulan yang diminta melakukan kegiatan regangan badan mempunyai penurunan besar tekanan darah berbanding mereka yang diminta untuk berjalan.
"Hasil penemuan ini penting untuk memberikan lebih banyak pilihan senaman kepada orang ramai untuk menurunkan tekanan darah," kata penulis laporan kajian tersebut.
Namun setakat ini, apakah faktor yang menyebabkan kegiatan meregangkan badan dapat menurunkan tekanan darah perlu melalui kajian yang lebih mendalam.
Selain melancarkan aliran darah, ia mungkin ada kaitan dengan kawalan pernafasan yang perlahan yang biasa dilakukan ketika aktiviti regangan.
Latihan pernafasan dalam amalan yoga, turut dikatakan mampu untuk menurunkan tekanan darah. Namun itu juga bermakna adalah sukar untuk memisahkan kesan pernafasan dan regangan terhadap penurunan tekanan darah. — EdisiRakyat.com, 19 Januari 2021
Rujukan — who.int | news.usask.ca | pubmed.ncbi.nlm.nih.gov | jstage.jst.go.jp
Post a Comment