Scammer Nigeria ini berjaya jual lapangan terbang tak wujud kepada sebuah bank

KEBELAKANGAN ini banyak kisah dan laporan berita tentang rakyat Malaysia menjadi mangsa 'scammer' warga Nigeria. Mereka terkenal dengan pelbagai muslihat licik untuk menipu bagi mendapatkan wang.

$ads={1}

Ada satu kisah pelik tapi benar berlaku di antara tahun 1995 dan 1998, melibatkan seorang 'scammer' warga Nigeria bernama Emmanuel Nwude yang berjaya memperdaya sebuah bank di Brazil dengan menjual sebuah lapangan terbang yang sebenarnya tidak wujud.

Emmanuel Nwude

Penipuan seperti itu barangkali tidak akan berjaya jika ia dilakukan dalam dunia hari ini, kerana orang ramai kini sudah celik dan sentiasa berjaga-jaga susulan mereka sudah didedahkan dengan pelbagai berita tentang penipuan yang dilaporkan berlaku di seluruh dunia.

Namun di era penghujung tahun 90-an, ramai individu yang masih naif, dan mudah terpedaya dengan pelbagai taktik licik digunakan oleh 'geng scammer' ini. Sebab itulah pada masa itu ramai yang mengalami kerugian beratus ribu ringgit akibat percaya dengan email loteri dari penipu Nigeria.

Penipuan Emmanuel Nwude

Emmanuel Nwude yang merupakan dalang kepada penipuan itu sebelum ini pernah bekerja sebagai pengarah di Union Bank of Nigeria.

Maka dia mempunyai pengetahuan berhubung dokumentasi, dan pautan-pautan yang diperlukan seterusnya membuatkan dirinya mudah dipercayai ketika menjalankan penipuan itu.

Emmanuel menyamar sebagai Paul Ogwuma, ketika itu merupakan gabenor Bank Pusat di Nigeria. Rakan-rakan subahatnya pula bernama Emmanuel Ofulue, Obum Osakwe, dan sepasang suami isteri Nzeribe Okoli dan Ikechukwu.

Menggunakan identiti baru dan bantuan rakan-rakan jenayahnya, Emmanuel berjaya berhubung dengan Nelson Sakaguchi, ketika itu merupakan pengarah Banco Noroetse sebuah bank terkemuka di Brazil.

Emmanuel menggunakan pendekatan untuk mendapatkan bantuan bank dari Brazil bagi membantu memajukan ekonomi Nigeria menerusi pelaburan dalam pembinaan sebuah lapangan terbang baru di ibu negara itu, Abuja.

Emmanuel turut memberi sogokan kepada Nelson dengan menjanjikan komisyen sebanyak USD10 juta jika perjanjian itu berjaya. Komisyen yang dijanjikan itulah dipercayai punca Nelson terperdaya dan terjerumus dalam perangkap Emmanuel.

Di antara tahun 1995 dan 1998 Nelson telah membayar 'scammer' itu wang tunai berjumlah USD191 juta manakala bakinya sebanyak USD51 juta dibayar dalam bentuk faedah yang diterima dari Banco Noroetse.

Bagaimana penipuan itu terbongkar?

$ads={2}

Emmanuel dan rakan-rakan sejenayahnya hampir sahaja berjaya meloloskan diri daripada penipuan itu, namun segalanya mula terbongkar apabila sebuah bank dari Sepanyol, Banco Santander ingin mengambil alih Banco Noroetse pada bulan Ogos 1997.

Pengambilalihan itu membawa kepada satu siasatan terperinci dilakukan terhadap Banco Noroetse. Semakan dan audit terperinci telah dijalankan bagi menilai kedudukan kewangan bank berkenaan.

Ketika tempoh itu, banyak mesyuarat lembaga pengarah diadakan di antara kedua-dua bank dalam bulan Disember 1997. Para pegawai kanan dari bank Sepanyol mempersoalkan bagaimana separuh daripada modal Branco Noroetse diletakkan dalam sebuah akaun tanpa perlindungan di Kepulauan Cayman.

Susulan percanggahan itu tidak dapat dijelaskan dengan baik, ditambah pula tiada lapangan terbang baru yang dibina di Abuja, satu siasatan rasmi telah dimulakan.

Siasatan jenayah itu melibatkan beberapa wilayah perundangan termasuk Brazil, Nigeria, Switzerland dan England. Sebagai usaha untuk memastikan proses pengambil alihan itu tetap berjalan lancar, pemilik Branco Noroetse terpaksa membayar USD242 juta menggunakan wangnya sendiri.

Bagaimanapun bank itu akhirnya 'gulung tikar' dan gagal diselamatkan.

Bagaimana penjenayah ditangkap?

Meskipun penipuan itu berlaku di antara tahun 1995 dan 1998, hanya dalam tahun 2004 barulah Emmanuel dan rakan rakan sejenayah nya diheret ke muka pengadilan.

Oleh kerana kes itu yang begitu kompleks, penyiasat berpengalaman diperlukan untuk mengendalikan kes berkenaan. Siasatan jenayah berhubung penipuan itu hanya bermula dalam tahun 2002.

Ketika itu Presiden Nigeria, Olesegun Obasanjo menubuhkan sebuah suruhanjaya agensi anti rasuah dan jenayah kewangan (EFCC).

Ketika  dibawa ke Mahkamah Tinggi Abuja, mereka dikenakan sebanyak 100 tuduhan menipu dan merasuah. Pada peringkat awal mereka tidak mengaku bersalah, namun akhirnya hujah pihak pembelaan mula terburai selepas salah seorang daripada mereka membuat pengakuan.

Meskipun salah seorang rakan subahatnya telah mengaku bersalah, Emmanuel masih berusaha untuk mengelakkan diri dari pengadilan apabila cuba merasuah pengerusi EFCC dengan sogokan sebanyak USD75,000.

Malangnya cubaan itu tidak berjaya kerana pengerusi itu enggan menerima rasuah, sekaligus menyebabkan Emmanuel dikenakan satu lagi tuduhan tambahan kerana cuba merasuah pengerusi berkenaan.

Pihak pendakwa berjaya menyembunyikan saksi utama kes tersebut, iaitu Nelson Sekaguchi, lelaki yang telah ditipu dan telah membuat pembayaran terhadap lapangan terbang yang tidak wujud.

Susulan testimoni daripada Nelson serta pengakuan kesemua rakan subahatnya, Emmanuel telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan diarahkan untuk membayar denda sebanyak USD10 juta kepada kerajaan persekutuan.

Kalau kita lihat, hukuman itu sebenarnya terlalu kecil buat Emmanuel sedangkan kesalahan yang dilakukannya melibatkan wang tunai berjumlah lebih USD200 juta. Denda USD10 juta celah gigi dia boleh bayar.

Kejadian ini merupakan salah satu penipuan terbesar dalam sejarah penipuan yang melibatkan bank pada abad ke 20. Sukar untuk kita percayai bagaimana penipuan seperti itu boleh berlaku. 

Perjanjian yang melibatkan jutaan dolar sepatutnya melibatkan masa yang panjang untuk melakukan semakan teliti melibatkan peguam dan pelbagai golongan profesional. Memang tak masuk akal macam mana sebuah bank boleh menjadi mangsa penipuan seperti itu. — EdisiRakyat.com, 20 Januari 2021

Post a Comment

Previous Post Next Post