SAINTIS dari China dilaporkan telah mencipta rawatan baru menggunakan kaedah terapi gene yang boleh membalikkan kesan penuaan pada tikus sekaligus memanjangkan jangka hayat mereka. Penemuan baru itu dijangka akan menyumbang kepada rawatan serupa terhadap manusia satu hari nanti.
Kaedah itu telah diterangkan secara terperinci dalam sebuah kertas laporan yang diterbitkan oleh jurnal Science Translational Medicine awal bulan ini.
Rawatan itu antara lain menggunakan kaedah mematikan sebuah gene yang dikenali sebagai kat7 yang diketahui oleh para penyelidik sebagai faktor utama menyumbang kepada proses penuaan sel.
Terapi spesifik yang mereka gunakan dan keputusan yang terhasil adalah julung-julung kalinya di dunia, kata pembantu supervisor projek berkenaan, Profesor Qu Jing, 40 yang juga merupakan pakar penuaan dan perubatan peremajaan dari Institut Zoologi di Akademi Sains China, CAS.
"Tikus-tikus ini selepas tempoh 6 hingga 8 bulan menunjukkan peningkatan secara keseluruhan dari segi rupa fizikal dan kekuatan cengkaman dan paling penting, jangka hayat mereka meningkat sebanyak 25 peratus," kata Qu.
Ahli biologi dari jabatan berbeza di CAS menggunakan kaedah CRISPR/Cas9 untuk mengimbas ribuan gene terutama yang menjadi pemacu kuat terhadap penuaan sel.
Mereka telah mengenalpasti sejumlah 100 gene daripada sekitar 10,000 dan kat7 merupakan gene paling berkesan di dalam menyumbang kepada penuaan sel, kata Qu.
Kat7 merupakan satu daripada berpuluh ribu gene yang ditemui dalam sel-sel mamalia. Para penyelidik telah mematikannya di dalam hati tikus menggunakan kaedah yang dipanggil sebagai 'lentiviral vector'.
"Kami telah menguji fungsi gene tersebut di dalam pelbagai jenis sel, dalam sel stem manusia, sel mesenkim, di dalam sel hati manusia dan sel hati tikus, dan dalam kesemua sel-sel itu kita tidak nampak sebarang aktiviti toksik yang boleh dikesan. Dan dalam tikus kami tidak nampak sebarang kesan sampingan lagi,"
Meskipun begitu katanya, kaedah itu masih jauh untuk dilakukan percubaan terhadap manusia.
"Kita masih perlu mengenalpasti secara tuntas untuk menguji fungsi gene Kat7 dalam sel jenis lain pada manusia dan organ-organ lain pada tikus serta haiwan-haiwan makmal lain sebelum kami menggunakan strategi itu untuk merawat penuaan manusia atau masalah kesihatan lain," katanya.
Qu berharap selepas ini mereka dapat menguji kaedah itu kepada mamalia lain, namun dana yang besar diperlukan dan lebih banyak kajian mesti dijalankan terlebih dahulu.
"Akhir sekali kami berharap dapat mencari jalan untuk menangguhkan penuaan walaupun hanya pada kadar peratusan yang paling kecil di masa hadapan," katanya. — EdisiRakyat.com, 20 Januari 2021