BIRO Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) telah menghantar seorang ejen rahsia, untuk mengintip di masjid-masjid yang terletak di selatan California dalam tahun 2013.
Tujuan operasi rahsia yang dipanggil sebagai "Operasi Flex" itu dijalankan adalah untuk menjejaki pengganas di kalangan umat Islam di masjid-masjid berkenaan.
Craigh Monteilh ditugaskan untuk hadir ke masjid-masjid tersebut bagi menjalankan operasi berkenaan. Dia menggunakan helah memberitahu Pusat Islam di Irvine kononnya mahu memeluk Islam.
Oleh kerana kerap hadir di masjid tersebut setiap minggu, Craigh semakin dikenali oleh jemaah masjid, dan kehadirannya disambut baik oleh mereka.
Craigh telah dibayar sebanyak USD177,000 oleh FBI untuk menyelinap masuk ke dalam 12 buah masjid di sekitar daerah Orange, Los Angeles dan San Bernardino.
Craigh turut diarahkan oleh dua orang pegawai FBI untuk menyiasat mana-mana orang Islam yang mungkin melakukan kesalahan berkaitan imigresen, seksual dan perniagaan haram.
Namun dia juga terkenal dikalangan jemaah sebagai seorang yang pelupa. Craigh seringkali tertinggal barang ketika meninggalkan masjid berkenaan, malah pernah suatu hari telefon bimbitnya turut tertinggal di kawasan ruangan solat.
Telefon bimbit itu sebenarnya mengandungi perakam rahsia yang dipasang di dalamnya untuk merakam aktiviti yang dijalankan di dalam masjid tersebut.
Apa yang menarik, di kala Craigh secara diam-diam cuba mengesan pengganas di kalangan jemaah masjid tersebut, sebaliknya ada jemaah lain pula yang melaporkan kehadirannya kepada pihak polis dan FBI kerana mereka mengesyaki Craigh merupakan seorang pengganas.
Ini kerana, Craigh sering kali berbincang dengan jemaah lain di masjid itu untuk melancarkan perang terhadap orang bukan Islam.
Pada peringkat awal, jemaah masjid menerima baik kehadiran Craigh, namun mereka mula merasa curiga selepas dia mula bercakap tentang jihad dan keganasan.
Craigh cuba menyebarkan idea dan fahaman ekstrimis di kalangan jemaah untuk melihat jika ada mana-mana individu yang akan menyahut seruannya.
Antara seruan yang dilaungkannya ialah: "Kita patut letupkan orang-orang kafir!" kerana pada fikirannya orang Islam pasti akan teruja dan menyokong seruan seperti itu.
Namun perkara yang berlaku adalah sebaliknya, jemaah masjid berkenaan tidak ada seorang pun yang menyokong keganasan seperti itu.
Malah mereka bertindak melaporkan perbuatan Craigh kepada pihak Polis di Irvine dan FBI kerana bimbang dia mungkin akan melakukan keganasan di masa hadapan.
Akhirnya pihak FBI bukan sahaja malu sendiri, malah turut disaman oleh Umat Islam California kerana melakukan tindakan bersifat "diskriminasi dan serkap jarang" terhadap mereka selain perbuatan merakam aktiviti mereka secara rahsia seperti itu diputuskan mahkamah sebagai menyalahi undang-undang. — EdisiRakyat.com, 11 Januari 2021
Sumber — latimes.com
Post a Comment