Monyet di Bali pandai curi barang berharga dijadikan tukaran untuk dapat makanan

KAWASAN tapak kuil purba Uluwatu di Bali, Indonesia dipenuhi dengan monyet-monyet liar yang seolah-olah pandai berniaga.

Monyet-monyet berekor panjang yang sering berkeliaran di kawasan berkenaan, terkenal dengan perangai nakal suka mencuri barangan milik pengunjung tanpa disangka-sangka.


Tujuan monyet-monyet itu mencuri barangan berharga milik para pelancong, tidak lain tidak bukan untuk dijadikan tebusan sebagai tukaran bagi mendapatkan makanan.

Para penyelidik dilapor mendapati haiwan itu juga mempunyai kepakaran di dalam menilai barangan mana yang paling berharga sebelum mencurinya dari mangsa.

Menurut profesor Dr Jean Baptiste Leca, dari jabatan psikologi Universiti Lethbridge Canada, monyet-monyet berkenaan lebih gemar mencuri atau merampas barangan berharga seperti peralatan elektronik berbanding pin rambut, atau beg kamera kosong yang kurang disayangi oleh mangsa.

Telefon bimbit, dompet dan cermin mata antara kepunyaan berharga yang sering disasarkan oleh monyet-monyet tersebut.

"Monyet monyet ini pakar meragut barangan ini daripada pelancong yang leka, dan tidak mengendahkan saranan kakitangan kuil, agar menyimpan barangan berharga dalam beg tangan yang berzip dan diikat kemas di leher atau di belakang bahu," kata Leca.

Selepas lebih 273 hari merakam gelagat antara haiwan tersebut dengan para pengunjung kuil berkenaan, monyet-monyet itu didapati akan meminta upah yang lebih besar, seperti makanan yang lebih banyak sebagai tukaran untuk memulangkan barangan berharga yang dicuri.

Proses rundingan di antara seekor monyet pencuri dengan pengunjung dan seorang kakitangan kuil biasanya akan berakhir dalam masa beberapa minit. 

Jangka masa paling lama pernah dirakam sebelum monyet itu memulangkan kembali barangan yang dirampas ialah selama 25 minit, termasuk 17 minit tempoh rundingan.

 

Lebih menarik, monyet itu nampaknya faham, dan dengan mudah memulangkan barangan kurang berharga yang dirampas meskipun hanya mendapat pulangan yang kecil.

Berbeza dengan banyak kajian yang telah dijalankan sebelum ini untuk mengkaji kelakuan serupa, monyet berekor panjang di Kuil Hindu itu merupakan haiwan yang bergerak bebas bukan dikaji dalam aturan makmal.

Kelakuan seperti itu dipelajari oleh monyet berkenaan sejak dari usia remajanya sehingga berumur empat tahun.

Merompak dan melakukan rundingan untuk tukaran barang merupakan satu ekspresi kepandaian kata Leca, "Kelakuan ini dipelajari dari pergaulan dan telah berkekalan turun-temurun dalam generasi monyet selama sekurang-kurangnya 30 tahun dalam populasi ini,"

Meskipun petugas di Kuil Uluwatu dapat mengawal perilaku dan hubungan haiwan itu dengan pelancong, namun tugas untuk menguruskan monyet begitu mencabar di tempat-tempat lain di seluruh dunia.

Contohnya di India, haiwan ini sering menimbulkan masalah di seluruh negara. Ia gemar memakan dan merosakkan tanaman petani, menyerbu dan menggeledah rumah orang kampung.

Tahun lalu, sekumpulan monyet liar di India dilapor menyerang seorang petugas kesihatan dan merampas sampel-sampel darah pesakit yang menjalani ujian coronavirus, sekaligus menimbulkan kebimbangan kejadian itu mungkin akan menjadi punca penyebaran virus tersebut di sekitar kawasan setempat.

Penyelidik juga dilaporkan bimbang, situasi pandemik akan mendorong haiwan itu bertindak dengan lebih agresif kerana kekurangan makanan. — EdisiRakyat.com, 15 Januari 2020

Post a Comment

Previous Post Next Post