Lelaki ini gali parit selama 36 tahun untuk dapatkan air

HEBAT seorang lelaki sanggup mengabdikan diri dan menghabiskan zaman mudanya selama 36 tahun menggali parit untuk membekalkan air ke kampungnya yang sering dilanda musim kemarau.

Huang Dafa

Pada tahun 1956, musim kemarau teruk telah melanda sebuah perkampungan kecil, bernama Caowangba terletak di wilayah selatan China.

Hampir setahun hujan tidak turun, ditambah dengan bahang cuaca panas, mengakibatkan semua sumber air penduduk kampung telah habis digunakan.

Mereka terpaksa bergantung kepada sebuah telaga kecil, yang pastinya tidak mencukupi untuk menampung keperluan kesemua orang kampung.

$ads={1}

Musim kemarau yang berpanjangan itu seterusnya telah mengakibatkan penduduk mengalami kekurangan bekalan makanan. 

Tiada sumber air untuk disalurkan ke sawah padi, lagipun orang kampung sukar untuk keluar mendapatkan makanan dari tempat lain disebabkan kedudukan kampung Caowangba yang begitu terpencil di pedalaman.

Hidup mereka bertambah susah kerana terpaksa mencatu makanan dan penggunaan air. Jika terlalu banyak air diambil dari telaga, mereka bimbang airnya cepat kering dan tiada lagi sumber air boleh diharapkan.

Selepas setahun berlalu keadaan masih juga tidak berubah. Ada segelintir penduduk mula berfikir untuk berpindah ke kampung lain, kerana sudah berputus asa untuk terus berada di Caowangba.

Ketika itulah muncul seorang pemuda bernama Huang Dafa, berusia 23 tahun pada masa itu, tampil dengan idea yang mungkin boleh menyelamatkan kampung berkenaan.

Terdapat sumber air paling hampir dengan Caowangba, iaitu sebatang sungai sekitar 10 km (6 batu) jaraknya. Aliran airnya yang deras, dirasakan mampu untuk disalurkan ke kampung berkenaan sekaligus boleh dijadikan sumber air penduduk kampung.

sumber air

Huang Dafa mencadangkan supaya penduduk kampung menggali sebatang parit atau terusan dari sungai itu yang terletak di kawasan tanah tinggi menuruni bukit terus sampai ke kampung.

Penduduk kampung terkejut mendengar cadangan yang diusulkan oleh Huang Dafa itu. Mereka menggelarkannya "budak gila" dan tiada seorang pun yang bersetuju.

Huang Dafa gali parit seorang diri

Sejak dari saat itu, Huang Dafa nekad untuk menggali parit itu seorang diri, kerana dia mahu menyelamatkan kampungnya. Dia tak peduli berapa tahun masa diperlukan untuk menyiapkan "projek gila" itu.

Namun sepanjang Huang Dafa menggali parit itu seorang diri, ada juga sebilangan orang kampung yang turut datang membantu.

Cabaran paling besar ialah ketika mereka menggali di kawasan gunung. Sudahlah laluan di situ berbahaya, ditambah lagi dengan batu-batu yang keras, membuatkan tugas menggali dan memecahkan bebatuan menjadi sangat sukar dan berisiko.

Terusan Huang Dafa

Mereka mengambil masa bertahun-tahun untuk menggali terusan di kawasan gunung itu. Tugas yang sangat memenatkan, ditambah dengan bahaya yang menanti, menyebabkan sebahagian penduduk berputus-asa untuk membantu selepas beberapa tahun projek itu dimulakan.

Projek itu seperti tiada penghujungnya, dan mustahil untuk disiapkan. Namun walaupun telah ditinggalkan sendirian, Huang Dafa tidak pernah berputus asa.

Parit Huang Dafa

Pernah satu ketika Huang Dafa menghentikan projek itu buat sementara waktu selama tiga tahun untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. 

Tujuannya tidak lain supaya dapat menimba ilmu sekaligus meningkatkan lagi keberkesanan kerjanya menggali terusan berkenaan.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang ditimbanya, dia terus menggali sedikit demi sedikit seorang diri. Hampir keseluruhan projek itu dilakukan oleh Huang Dafa seorang diri bertahun-tahun lamanya.

Hanya pada tahun 1990, ketika projek itu sudah 80 peratus siap, ramai penduduk kampung sekali lagi datang untuk membantunya menyiapkan terusan berkenaan.

Sepanjang projek itu berjalan, keadaan air di kampung Caowangba masih tidak berubah. Ramai penduduk yang telah berhijrah ke kawasan lain.

$ads={2}

Terusan itu siap sepenuhnya pada tahun 1995

Dalam tahun 1995 terusan yang diusahakan oleh Huang Dafa siap sepenuhnya. Caowangba kini sudah menerima bekalan air yang mencukupi untuk semua orang.

Selama 36 tahun penat lelah menggali dan memahat gunung sedikit demi sedikit terusan itu.

Akhirnya 1,200 penduduk kampung dapat menikmati bekalan air yang cukup hasil kecekalan Huang Dafa menghabiskan zaman mudanya untuk berbakti.

Bukan itu sahaja, dalam tahun 1995 Huang Dafa juga telah berjaya membawa masuk bekalan elektrik ke Caowangba selepas bertahun-tahun mengusahakannya dengan pihak berkuasa tempatan.

Bantu penduduk kampung lain

Kisah Huang Dafa tidak tamat di situ, dalam tahun 2001 dia mula membantu penduduk Zaowangba, kampung berhampiran yang turut sama mengalami masalah kemarau.

Huang Dafa membantu mereka untuk menggali satu lagi terusan dari sungai yang sama namun kali ini jaraknya lebih dekat sekitar 7 km (4 batu) dari sumber air tersebut.

Huang Dafa telah menerima pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di China hasil usahanya itu. Penduduk melihatnya sebagai Yu Gong, sebuah watak mistik masyarakat Cina yang dikatakan begitu cekal sehingga tuhan menganugerahkannya kuasa sehingga mampu memindahkan gunung. — EdisiRakyat.com, 24 Januari 2021


1 Comments

  1. Sehabat mana pun dia, tak akan mampu menandingi kehebatan PM Kita YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah membekalkan air ke seluruh Malaysia menerusi paip-paip air seluruh negara. Tak payah gali-gali lubang buat kerja bodoh.

    Bersyukur kita dapat PM yang bijaksana seperti YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. PM paling hebat dan bijak pernah dilahirkan di tanah air bertuah ini.

    Kita rakyat Malaysia patut sentiasa bersyukur dianugerahkan insan hebat.

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post