Kenapa rakyat Malaysia memandu di kiri jalanraya?

KITA lihat di negara barat, contohnya seperti Amerika dan Perancis, kenderaan di negara itu dipandu di bahagian kanan jalanraya. Dalam masa yang sama, tempat duduk pemandu pada sesebuah kereta juga diletakkan di bahagian kiri kenderaan.



Namun ada juga negara lain seperti Australia dan Britain, yang menetapkan undang-undang agar semua kenderaan menggunakan laluan di kiri jalanraya justeru kenderaan di kedua-dua negara itu dicipta dengan meletakkan tempat pemandu di bahagian kanan kenderaan.

Highway Malaysia

Negara seperti Indonesia, Singapura dan Malaysia memandu di bahagian kiri jalanraya sama seperti Australia dan Britain.

Secara asasnya semua kenderaan memandu seperti itu secara seragam kerana telah ditetapkan oleh undang-undang sesebuah negara.

Namun persoalannya ialah, kenapa terdapat undang-undang yang berbeza di antara negara yang berbeza? Setiap undang-undang pasti dicipta dengan alasan dan hujah tertentu.

Baiklah kita kembali semula kepada persoalan asal tentang artikel ini iaitu, kenapa rakyat Malaysia memandu di bahagian kiri jalanraya?

Jawapan untuk soalan ini ringkas dan mudah, ini kerana suatu masa dahulu Malaysia pernah dijajah oleh Kerajaan British. Maka segala undang-undang termasuk undang-undang jalanraya ditetapkan oleh British.


Sehinggalah selepas kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957 pun, kerajaan Malaysia masih lagi mengguna pakai undang-undang yang ditinggalkan oleh Kerajaan British. 

Jadi apa yang perlu kita tahu ialah, mengapa British membuat undang-undang menetapkan semua pengguna jalan raya mesti menggunakan laluan di bahagian kiri jalan?

Peraturan ini dipercayai bermula ratusan tahun dahulu  sejak zaman pertengahan (mediaval age) lagi, di mana ketika itu orang ramai terutama perajurit dan askar berkuda menunggang kuda di bahagian kiri jalan sambil membawa pedang.

Kebanyakkan manusia menggunakan tangan kanan untuk memegang pedang. Jadi dengan cara ini memudahkan mereka untuk menghunus dan menghayunkan senjata jika bertembung dengan musuh yang datang tiba-tiba di bahagian kanan mereka di pertengahan jalan.

Selain itu, peraturan ini juga memudahkan mereka untuk bersalaman sekiranya terserempak dengan sekutu atau rakan ketika di jalanan. Jika berjalan di laluan kanan, pasti sukar untuk bersalaman antara satu sama lain kerana tangan untuk bersalam bagi kedua-dua pihak berada lebih jauh antara satu sama lain.


Ini juga menjadi sebab kenapa tangga yang dibina untuk istana zaman pertengahan mempunyai bentuk pusaran mengikut arah pusingan jam ketika menuruni tangga, manakala ketika menaiki tangga ia mengikut lawan arah pusingan jam.

Dengan rekabentuk seperti itu akan memberikan kelebihan kepada pengawal istana jika diserang oleh pihak musuh yang cuba menceroboh untuk naik ke dalam istana menggunakan tangga pusaran itu.

Ini kerana, kedudukan tangan pengawal yang memegang pedang lebih bebas bergerak untuk menghayun pihak lawan, berbanding penceroboh yang datang untuk menyerang istana.

Dalam tahun 1773, Kerajaan British telah memperkenalkan General Highway Act (Akta Umum Lebuhraya) yang menggalakkan orang ramai yang menunggang kuda untuk membawa sayur-sayuran ke pasar menggunakan laluan di bahagian kiri jalan. Akta itu kemudian dikuatkuasakan dalam tahun 1835 menjadi undang-undang seluruh wilayah British.

Manakala negara kita Malaysia pula mewarisi undang-undang daripada British dan diguna pakai sampailah ke hari ini. — EdisiRakyat.com, 5 Januari 2020

Post a Comment

Previous Post Next Post