Kebakaran 1962 masih tidak padam sampai hari ini

SEHINGGA hari ini terdapat sebuah kebakaran bawah tanah di Amerika Syarikat yang masih menyala selepas hampir 60 tahun. Apa yang lebih sukar untuk difahami, kebakaran itu mungkin akan berterusan selama 250 tahun lagi.

$ads={1}

Lokasi kebakaran itu terletak di kawasan lombong arang batu Centralia, Pennsylvania, di mana ruang bawah tanah daerah itu sudah mula terbakar sejak tahun 1962.

Centralia Mine Fire

Sejak dari peristiwa itu, mendapan arang batu Centralia sudah terbakar sehingga mencapai kedalaman 300 kaki. Api bawah tanah terus membaham sejauh 8 batu (12.8 km) di dalam kawasan seluas 3,700 ekar. Punca kebakaran hampir tidak diketahui, namun ada beberapa teori tentang bagaimana kebakaran itu bermula.

Antara penjelasan yang biasa diberikan, kebakaran itu berpunca dari pembakaran sampah yang memercikkan api kepada mendapan arang batu di dalam gua, sebelum menyebabkan kebakaran besar.

Pada tahun 1962, Majlis Perbandaran Centralia bercadang untuk membersihkan sebuah tapak perlupusan sampah yang baru dibina berhampiran kawasan lombong arang batu.

Pembinaan tapak pelupusan itu pada awal tahun 1962 adalah sebagai langkah menangani masalah pembuangan sampah secara haram, dilaporkan semakin menjadi-jadi di Centralia.

Ironinya, tujuh tahun sebelum itu pihak berkuasa Pennsylvania telah meluluskan undang-undang kawalan tapak pelupusan sampah berdekatan lombong arang batu, kerana menyedari bahaya kebakaran yang mungkin berlaku dari kawasan lombong.

Selepas mendapati banyak lubang-lubang di tapak berkenaan, seorang inspektor telah memaklumkan salah seorang wakil pihak berkuasa tempatan supaya setiap lubang itu ditimbus dengan bahan-bahan material yang tidak mudah terbakar.

Tidak diketahui apa sebab, mereka bukan saja tidak menimbus lubang itu dengan bahan yang disarankan, malah turut memutuskan untuk membakar tapak perlupusan itu bagi membersihkannya.

Mereka juga telah mengupah sekumpulan pekerja untuk melakukan tugas pembakaran berkenaan pada 17 Mei 1962.

Pekerja itu berjaya memadamkan api pada waktu malam selepas kerja-kerja pembakaran selesai dijalankan. Namun pada 29 Mei, dan 4 jun 1962 ramai penduduk tempatan menyaksikan asap masih keluar dari tapak berkenaan.

Mereka cuba memindahkan longgokan sampah sarap menggunakan jentolak untuk menyelongkar lapisan yang mungkin masih terbakar di bahagian bawah. Namun apa yang ditemui beberapa hari kemudian ialah sebuah lubang seluas 15 kaki di bawah longgokan sampah-sampah tersebut.

Lubang itu dipercayai bersambung dengan terowong arang batu lama yang berhubung dengan mendapan arang batu. Meskipun selepas kejadian itu, pihak berkuasa tempatan masih lagi terus membenarkan pembuangan sampah dijalankan di tapak berkenaan.

Mendapan arang batu terbakar

Perkara itu menjadi semakin serius selepas ujikaji dijalankan mendapati, asap yang keluar dari lubang lubang tersebut mempunyai kandungan karbon monoksida yang konsisten dengan kebakaran lombong arang batu.

Pada 9 Ogos 1962, paras karbon monoksida yang dibebaskan mencapai tahap berbahaya, dan semua lombong-lombong kawasan itu telah ditutup. 

Cubaan asal untuk menggali tapak berkenaan turut dijalankan tidak lama selepas itu. Namun apabila terowong di lombong lain dibuka dan membekalkan semula sumber udara, telah mengakibatkan api menjadi kembali marak menyala.

Akhirnya projek itu terpaksa dihentikan, akibat kekurangan dana ditambah dengan para pekerja tidak lagi sanggup menghadapi kebakaran yang semakin dalam di bawah tanah.

Percubaan kali kedua untuk memadamkan api berkenaan telah dilakukan dalam bulan November 1962, dengan cara menimbus lubang tersebut dan menyedut nyalaan api menggunakan serpihan batu dicampur air yang akan dipam ke kawasan yang sudah terbakar.

Sekali lagi mereka kehabisan sumber kewangan pada bulan Mac 1963, dan disebabkan oleh cuaca sejuk, dan keadaan bersalji, kebolehan syarikat tersebut untuk menimbus kawasan berkenaan turut terjejas. Pada waktu itu dalam tahun 1963, api sudah merebak sejauh 700 kaki dari titik asal kebakaran dipercayai bermula.

Sehinggalah pada tahun 1979, akhirnya penduduk tempatan mula menyedari bahawa masalah itu sebenarnya lebih besar dari apa yang mereka ketahui. Dalam tahun 1981, seorang kanak-kanak lelaki bernama Todd Domboski hampir terjatuh ke dalam sebuah lubang seluas 4 kaki dan sedalam 150 kaki yang tiba-tiba muncul di belakang rumahnya.

Mujur kanak-kanak itu sempat ditarik dan berjaya diselamatkan oleh sepupunya. Kajian dijalankan terhadap wap yang keluar dari lubang itu mempunyai kadar karbon monoksida pada paras yang boleh membawa maut.

Jalan-jalan di sekitar Centralia, Pensylvennia juga turut merekah dan mengeluarkan gas-gas mengandungi sulfur dan karbon monoksida, akibat kebakaran bawah tanah yang tak pernah padam. Sekaligus menjadikan kawasan itu tidak lagi sesuai didiami.

Jalanraya Merekah

Dalam tahun 1984, kongres Amerika Syarikat telah memperuntukkan lebih $42 juta untuk menempatkan semula penduduk di sekitar kawasan Centralia. Ramai penduduk yang berpindah namun masih ada segelintir yang mahu kekal tinggal di situ.

Dalam tahun 1962 Gabernor Pennsylvania telah menggunakan kuasa "Eminent Domain" untuk meruntuhkan semua bangunan yang ada di situ. 

Tindakan undang-undang diambil oleh segelintir penduduk susulan penguatkuasaan itu namun mereka gagal meyakinkan mahkamah.

Perkhidmatan kiriman Amerika Syarikat turut membuang poskod penghantaran untuk Centralia dalam tahun 2002, dan dalam tahun 2012 baki penduduk terakhir yang masih tinggal di situ telah diarahkan untuk pergi selepas mereka kalah dalam rayuan di mahkamah.

Tujuh orang penduduk masih dibenarkan tinggal dalam tahun 2013, selepas harta benda mereka bakal dirampas menerusi kuasa "Eminent Domain".

Ini sajalah penduduk yang tinggal daripada sejumlah 2,761 populasi penduduk dalam tahun 1980. Namun Centralia bukan satu-satunya mangsa kepada kebakaran lombong arang batu. Terdapat sebuah lagi pekan berhampiran bernama Byrnesville yang mana bangunannya juga terpaksa diruntuhkan dan ditinggalkan.

Lombong Centralia dipercayai mempunyai cukup bahan api untuk terus membakar sehingga 250 tahun yang akan datang, kerana ia akan terus membaham mendapan arang batu bawah tanah dalam jaringan terowong yang begitu luas.

Suhu kebakaran api bawah tanah dipercayai mencapai 1,000 darjah Fehrenheit (538 °c) serta mengandungi campuran gas beracun karbon monoksida dan gas-gas lain. 

Meskipun orang ramai sedar tentang bahaya itu, Centralia masih terus menjadi tarikan pelancong disebabkan orang ramai mahu melihat bagaimana keadaan kebakaran yang masih tidak padam sampai ke hari ini, selain menyaksikan tapak pekan yang sudah dihapuskan itu. — EdisiRakyat.com, 26 Januari 2021


Post a Comment

Previous Post Next Post