MUNGKIN anda tertanya-tanya apa akan jadi jika sebuah pesawat yang sedang terbang di awan biru tiba-tiba kehabisan minyak. Adakah pesawat itu akan berhenti tiba-tiba sebelum terhempas?
Jawapan bagi soalan di atas ialah 'tidak'. Apabila sebuah pesawat kehabisan minyak operasi enjinnya akan berhenti saling tak tumpah seperti sebuah kereta yang kehabisan minyak ketika sedang melakukan perjalanan.
Apabila enjin berhenti, pesawat berkenaan akan kehilangan kuasa tujahan untuk terus bergerak ke hadapan. Ada sebilangan pesawat yang memerlukan bahan api untuk menjalankan fungsinya seperti sistem hidrolik dan lain-lain.
Namun ia tidak akan terus terhempas ke atas tanah, sebaliknya juruterbang masih boleh mengawal dan meluncurkan pesawat itu untuk mendarat di mana-mana lokasi paling hampir dengan kaedah paling selamat.
Semuanya bergantung kepada pengalaman dan kepakaran seorang juruterbang di dalam mengendalikan situasi genting seperti itu.
Terdapat beberapa kejadian dalam sejarah dunia, di mana pesawat terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas kehabisan bahan api.
1. Flight 143 Air Canada (Gimli Glider), 23 Julai 1983.
Pada 23 Julai 1983 berlaku sebuah kejadian yang digelar "Gimli Glider" kepada pesawat milik Air Canada, Flight 143 yang diterbangkan dari Montreal menuju ke Edmonton, Canada.
Difahamkan ketika itu terdapat masalah pertukaran sukatan untuk mengukur jumlah bahan api pada pesawat jenis Boeing 747 berkenaan ketika sedang terbang pada pada ketinggian 41,000 kaki di udara.
Akibatnya pesawat itu telah kehabisan ketika dalam penerbangan. Bagaimanapun juruterbang yang memandu pesawat dengan bantuan krew kabin tersebut berjaya mengawal situasi sebelum melakukan pendaratan dengan selamat di sebuah landasan bekas Pengkalan Udara di-Raja Kanada yang terletak di Gimli, Manitoba.
Kejadian itu dilaporkan akibat kesilapan unit yang digunakan untuk mengukur jumlah berat bahan api untuk pesawat berkenaan, di mana unit pounds diganti dengan unit kilogram menjadikan pesawat itu hanya diisi dengan bahan api berjumlah 45% daripada isipadu sepatutnya.
2. Avianca Flight 52, 25 Januari 1990
Pesawat Avianca 52 yang dijadualkan tiba di New York dari Bogota, terhempas pada 25 Januari 1990 jam 9:34 malam waktu tempatan.
Pesawat jenis Boeing 707 itu telah kehabisan minyak selepas gagal untuk membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy.
Pesawat itu kemudian terhempas di sebuah kawasan berbukit dalam sebuah perkampungan kecil yang terletak di Cove Neck, New York. Lapan daripada sembilan kru kabin dan 65 orang daripada 149 penumpang dilaporkan terkorban dalam nahas tersebut.
Hasil siasatan National Transportation Safety Board (NTSB) mendapati, nahas tersebut berlaku disebabkan kelemahan pentadbiran lapangan terbang mengawal selia aliran udara serta kecuaian kru penerbangan berkenaan.
3. Rampasan pesawat Ethiopian Airline, 23 November 1996.
Sebuah pesawat milik Ethiopian Airlines bernombor Flight 961 jenis Boeing 767-200ER dalam penerbangan dari Addis Ababa menuju ke Nairobi, telah dirampas oleh tiga orang warga negara Ethiopia yang ingin mendapatkan suaka politik di Australia pada 23 November 1996.
Pesawat itu telah melakukan pendaratan cemas di Lautan Hindi berdekatan dengan pulau Grande Comore di Kepulauan Comoros disebabkan telah kehabisan minyak.
125 daripada 175 penumpang termasuk kru kabin di dalam pesawat berkenaan termasuk ketiga-tiga perampas pesawat itu terkorban.
Ketika kejadian terbabit, Kapten Leul Abate berusia 42 tahun merupakan juruterbang utama penerbangan berkenaan dibantu oleh pembantu juruterbang Yonas Mekuria berusia 34 tahun.
Tiga lelaki telah berjaya menceroboh ruang kokpit pesawat dan melakukan ugutan kepada juruterbang menggunakan kapak dan pemadam api yang terdapat di situ.
Ketiga-tiga lelaki itu mengugut akan meletupkan pesawat jika juruterbang enggan mengikut kemahuan mereka.
Mereka mahu pesawat itu diterbangkan ke Australia sambil merujuk kepada sekeping majalah yang menunjukkan bahawa pesawat jenis Boieng 747 mampu terbang selama 11 jam tanpa henti.
Juruterbang mengakui fakta itu, namun katanya meskipun ia mampu terbang selama 11 jam tanpa henti, namun pesawat itu perlu diisi dengan bahan api yang cukup sedangkan pesawat yang dinaiki mereka hanya dibekalkan dengan bahan api untuk penerbangan selama dua jam.
Juruterbang itu turut menunjukkan tolok pengukur bahan api, namun mereka langsung tidak peduli.
Akhirnya pesawat berkenaan telah kehabisan minyak sebelum meluncur ke permukaan laut selepas juruterbang cuba melakukan pendaratan kecemasan di atas air.
Kejadian itu disaksikan oleh ramai pengunjung yang sedang menikmati cahaya matahari di pantai Pulau Comoros. Terdapat juga beberapa rakaman video kejadian berkenaan.
4. Pesawat Air Transat, 24 Januari 2001
Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Air Transat jenis Airbus A330 sedang dalam perjalanan dari Toronto menuju ke Lisbon.
Dalam penerbangan itu berlaku kebocoran bahan api ketika pesawat berkenaan berada di tengah-tengah lautan Atlantik, sekaligus menyebabkan kedua-dua enjinnya terhenti.
Ketika itu pesawat berkenaan berada pada ketinggian 33,000 kaki di udara. Pesawat itu telah meluncur tanpa enjin mengurangkan ketinggian pada kadar 2,000 kaki seminit.
Ketika itu sebuah Pusat Kawalan Udara Tentera mengarahkan juruterbang yang memandu pesawat tersebut untuk melakukan pendaratan cemas di Pengkalan Udara Tentera berdekatan.
Namun juruterbang terpaksa segera mengurangkan ketinggian dengan pantas sebelum melakukan pusingan 360 darjah dan mendarat secara keras di pengkalan berkenaan.
Bagaimanapun pesawat itu berjaya mendarat dengan selamat bersama lebih 200 orang penumpang yang dibawanya. — EdisiRakyat.com, 12 Januari 2021
Rujukan — wikipedia.org | express.co.uk | cbc.ca | nytimes.com
Iya betul, menurut salah seorang bekas kapten yang membawa kapalterbang MAS, kalau dah habis langsung minyak pun, pilot tersebut, boleh "melayangkan" pesawat tersebut sejauh 67km dan mampu mencari mana-mana "daratan" yang terdekat pada masa itu.
ReplyDeleteKalau habis minyak masih boleh meluncur sehingga beberapa puluh kilometer. Tapi kalau tak ada landasan berdekatan itu yang bahaya.
ReplyDeletePost a Comment