SEBUAH penjara di San Quentin, California mempunyai sejarah mengerikan berdekad-dekad lamanya, di mana pelbagai eksperimen telah dijalankan terhadap lebih 10,000 banduan di situ termasuk memindahkan alat kelamin haiwan kepada manusia.
Hanya baru-baru ini kebanyakan eksperimen itu terbongkar ke pengetahuan umum. 'Syaitan' di sebalik eksperimen kejam itu ialah Leo Stanley yang juga merupakan ketua doktor bedah di penjara berkenaan.
Stanley memulakan peranannya dalam tahun 1913 hingga bersara pada tahun 1951. Sepanjang tempoh itu dia merasakan tindakan itu tidak bercanggah dengan etika kedoktoran untuk melakukan apa sahaja terhadap para banduan, malah ke atas jasad-jasad banduan yang sudah meninggal dunia akibat kegagalan eksperimen mahupun kematian secara semulajadi.
Perkauman, Pemandulan, dan Eugenik
Pada waktu itu, Stanley dan kebanyakkan individu yang bertugas di penjara San Quentin diceritakan sebagai golongan fanatik Kristian, oleh itu mereka sangat membenci kegiatan homoseksual yang sering berlaku di kalangan banduan dalam penjara.
Dalam masa yang sama, mereka juga sangat bersifat perkauman terhadap bangsa lain, lebih-lebih lagi pada fikiran doktor bedah Stanley, penganut Kristian berkulit putih seperti dirinya jauh lebih mulia berbanding bangsa dan agama lain.
Atas sebab itulah Stanley mahu menjalankan proses pemandulan ke atas banduan-banduan berbangsa lain, termasuk juga banduan berkulit putih jika mereka enggan patuh kepada ajaran Kristian.
Dia merasakan kegiatan itu adalah perbuatan mulia di dalam usaha menghentikan apa yang dianggapnya sebagai "gen-gen buruk" dibawa oleh banduan-banduan terbabit.
Ilmu kajian tentang pembiakan dan pewarisan (eugenik) sangat hangat menjadi perbincangan pada waktu itu, dan itulah antara faktor Stanley melakukan pelbagai idea dan eksperimen gila.
Pada peringkat awal, kegiatan dimulakan pada tahun 1920-an dengan menjual organ-organ banduan yang telah mati kepada orang-orang kaya dan memerlukannya.
Selalunya organ-organ utama yang akan diambil dari jasad banduan mati ialah testikel malah ada sebahagian kes zakar juga diambil untuk dipindahkan kepada sesiapa sahaja sanggup membayar dengan bayaran tinggi. Kegiatan haram itu dijalankan secara sulit tanpa kelulusan atau kebenaran pihak berkuasa.
Dalam kejadian lain, bergantung kepada jasad banduan tertentu, kadangkala keluarganya akan dihubungi untuk mendapatkan kebenaran bagi menggunakan organ-organ si mati dengan alasan untuk menyelamatkan nyawa.
Antaranya Antone Lepara seorang banduan yang telah mati menjalani hukuman gantung, kerana membunuh. Beberapa hari sebelum menjalani hukuman, sepucuk surat dihantar kepada isterinya menawarkan $10,000 jika testis suaminya diambil selepas hukuman gantung.
Surat itu dihantar oleh seorang ahli perniagaan kaya, kerana dia mempunyai hubungan baik dengan warden. Tidak dapat dipastikan sama ada isteri Lepara menerima tawaran itu atau pemindahan organ itu berjalan selepas itu
Banyak kegiatan pemindahan organ haram seperti itu berlaku. Apa yang lebih menarik, tindakan memandulkan banduan sebenarnya sah mengikut undang-undang California pada waktu itu.
Sebuah undang-undang telah diluluskan dalam tahun 1909 yang membenarkan banduan dan pesakit mental di pusat tahanan dimandulkan jika mereka dianggap 'tidak sesuai' berada dalam lingkungan masyarakat.
Dari situlah Doktor Stanley memanipulasi undang-undang secara tidak beretika, di matanya, sesiapa sahaja yang bukan Kristian berkulit putih, tidak sesuai untuk masyarakat.
Gabungkan haiwan dengan manusia
Apa yang menyedihkan, eksperimen-eksperimen dijalankan sangat kejam. Disebabkan Stanley begitu ghairah dengan eugenik, dia cuba mencipta semula DNA manusia dengan mengambil alat kelamin daripada haiwan dan memindahkannya kepada banduan selepas alat kelaminnya dibuang.
Kebanyakan banduan melalui prosedur pembedahan eksperimen ini, berakhir dengan kematian dan hanya tuhan sahaja tahu berapa ramai mengalami komplikasi sepanjang eksperimen itu dijalankan.
Sebagai contoh, Doktor Stanley pernah mengambil testis dari pelbagai haiwan seperti kambing, rusa, lembu dan babi untuk dimasukkan ke dalam skrotum (kerandut) banduan.
Pada fikirannya, badan manusia itu akan mampu menyerap hormon testosterone daripada testis haiwan untuk menggantikan kehilangan hormon. Peristiwa ini ada diceritakan secara terperinci dalam Memoir ditulis olehnya berjudul "My Most Unforgettable Convicts".
Sebenarnya eksperimen pelik dan ganjil terhadap manusia memang seringkali dijalankan dalam pelbagai penjara di barat pada abad ke-20 dan sebelum itu. Sampai ke hari ini tidak siapa tahu jika kegiatan kejam ini masih dilakukan dalam mana-mana penjara di dunia terutama di negara-negara dunia ketiga.
Doktor Stanley selalunya akan menggunakan mana-mana banduan yang berpura-pura jatuh sakit kerana mahu dihantar ke hospital (untuk mendapat layanan lebih baik berbanding dalam sel penjara). Pada fikirannya, banduan seperti ini adalah "spesimen terbaik" untuk menjalani eksperiman gilanya.
Dalam memoir itu, Doktor Stanley juga menyebut dalam kes tertentu dia akan menjalankan 'euthanasia' (prosedur membunuh pesakit yang tidak dapat disembuhkan) untuk memberi pengajaran kepada mereka dan banduan-banduan lain.
Pada tahun 1951 menyaksikan Dr Stanley bersara tanpa dikenakan sebarang akibat selepas ribuan eksperimen yang dijalankan di Penjara San Quentin. Hanya tuhan sahaja tahu berapa banyak lagi kegiatan seperti itu dilakukan di penjara-penjara lain.
Dari kisah ini dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran kepada kita apa yang difikirkan oleh orang yang sakit otak atau mudahnya 'psychopath' seperti doktor Stanley ini.
Walaupun dalam fikirannya segala eksperimen yang dijalankan adalah menurut etika, kerana semuanya dijalankan terhadap penjenayah, namun keadilan tidak boleh ditegakkan dengan satu lagi perbuatan jenayah. — EdisiRakyat.com, 26 Januari 2021
Rujukan — sdsc.ca.gov | justiceineducation.columbia.edu | uwa.edu.au
Post a Comment