Bagaimana orang Jepun hasilkan ketam berwajah manusia (samurai) ini tanpa mereka sedar?

ADA sejenis ketam berwajah manusia atau lebih tepat seperti wajah 'samurai marah' di bahagian belakang cengkerangnya. Ketam yang diberi nama 'Heikegami' ini banyak terdapat di laut Negara Jepun dan sebab itu juga ia turut dipanggil sebagai ketam samurai.

Heikegami
Sumber gambar | wikipedia.org

Bagaimana ketam-ketam ini boleh mempunyai muka seperti manusia? Ada dua jawapan yang boleh kita pertimbangkan. Satu berdasarkan mitos penduduk tempatan, manakala satu lagi menurut pendapat saintifik.

Mari kita teliti mitos penduduk tempatan terlebih dahulu, kemudian barulah kita pertimbangkan fakta sains yang dikemukakan.

Mitos penduduk tempatan.

Penduduk Jepun terutama nelayan percaya bahawa ketam-ketam ini memiliki roh-roh manusia hasil reinkarnasi (kelahiran semula) pahlawan puak Heike yang tewas dalam peperangan zaman dahulu.

Ada satu kisah lagenda peperangan yang berlaku sebelum tahun 1330. Ketika itu puak Taira (juga dikenali sebagai Heike) berperang dengan Puak Minamoto (juga dikenali sebagai Genji) untuk merebut tahta kekuasaan maharaja di penghujung abad ke 12.

Punca peperangan itu bermula sejak sekitar tahun 786 sehingga 24 Ogos 842. Di mana pada masa itu terdapat seorang Maharaja Jepun bernama Saga yang setiap hari masanya dihabiskan berfoya-foya dengan gundik-gundiknya.

Hasil kegiatan berfoya-foya maharaja itu dikurniakan sejumlah 49 orang anak hasil perkongsian kasih bersama 30 orang wanita. 

Namun sebilangan besar iaitu seramai 30 orang anak-anak ini kemudiannya dilucutkan kedudukan, daripada keturunan istana kepada bangsawan biasa.

$ads={1}

Sering terjadi dalam sejarah tamadun lain di dunia, akan berlaku perebutan kuasa bila seorang raja mempunyai anak yang ramai. Masing-masing mengaku berhak untuk menduduki tahta dengan pelbagai hujah dan alasan.

Seperti yang kita tahu kuasa akan menarik golongan bangsawan terutama anak-anak keturunan raja ini seperti "cahaya api yang menggoda, menyebabkan serangga berlumba-lumba masuk ke dalamnya,"

Langkah terakhir untuk menegakkan hak, tentu sekali pertumpahan darah, iaitu menerusi jalan perang, pihak mana yang lebih kuat dan menang dalam peperangan maka dialah yang akan memegang kuasa pemerintahan.

Pergolakan antara dua keturunan maharaja itu berlanjutan berabad-abad lamanya sehinggalah sampai ke kemuncak apabila berlakunya perang pada 24 April 1185.

Dalam Perang Genpei berlaku pertempuran dipanggil sebagai 'Dan-no-ura' di mana samurai dari Puak Taira (Heike) telah bertempur dengan samurai dari Puak Minamoto (genji).

Perang Ganpei

Samurai dari kedua-dua puak bertempur mati-matian di pantai Dan-no-ura. Puak Taira diketuai oleh maharaja Antoku yang baru berusia 7 tahun bersama neneknya, Tokiko Taira. 

Meskipun Puak Taira sudah memegang tahta dan memerintah Jepun berdekad-dekad lamanya, namun kali ini Puak Minamoto datang dengan bala tentera yang jauh lebih besar.

Puak Minamoto berjaya mengalahkan Puak Taira. Selepas kekalahan itu, Tokiko Taira telah membawa cucunya  Maharaja Antoku terjun ke dalam laut di Selat Shimonoseki dan kedua-dua mereka mati lemas kerana si nenek tidak sanggup cucunya itu ditangkap dan diseksa oleh tentera pemberontak Minamoto.

Perang Dan-no-ura

Menyaksikan kejadian itu, kesemua bala tentera, dan samurai Taira termasuk jeneral perang telah mengikut langkah yang sama membunuh diri dengan terjun ke dalam laut.

Peperangan itu juga telah menjadi perubahan penting dalam sejarah budaya dan politik Jepun, di mana selepas itu negara Jepun buat kali pertamanya mula diperintah oleh 'shogun' atau pemerintah tentera dan tidak lagi diperintah oleh maharaja dan golongan bangsawan.

Selepas kejadian itu, timbul kepercayaan di kalangan penduduk tempatan terutama golongan nelayan bahawa kawasan laut tempat berlakunya pertempuran itu mempunyai penunggu.

Acap kali mereka menangkap ketam di kawasan berkenaan, mereka akan memeriksa setiap tangkapan secara teliti, jika ketam yang ditangkap menyerupai wajah manusia iaitu cengkerangnya menyerupai 'samurai marah' maka haiwan itu akan dilepaskan semula ke laut.

Para nelayan percaya ketam-ketam berwajah samurai merupakan jelmaan roh puak Taira atau Heike yang melalui proses reinkarnasi (kelahiran semula).

Jadi hanya ketam-ketam yang tidak berwajah manusia sahaja akan dibawa pulang untuk dimakan sebagai menghormati Puak Heike dan sebab itulah ketam itu diberi nama Heikegami.

Mereka juga turut menyembah roh Maharaja Antoku yang lemas di laut berkenaan, di mana mengikut kepercayaan mereka Antoku telah berubah menjadi Mizu-no-kami (Dewa Air).

Itulah kepercayaan masyarakat tempatan di Jepun tentang asal usul ketam berkenaan.

$ads={2}

Apa pula penjelasan saintifik?

Dalam teori yang dipelopori oleh Charles Darwin, terdapat dua cara makhluk hidup mengalami evolusi. Pertama menerusi 'pemilihan alami' (natural selection) dan 'pemilihan buatan' (artificial selection).

Teori 'pemilihan alami' mengambarkan bagaimana selepas bertahun-tahun lamanya, di kawasan pokok-pokok berdaun tinggi, hanya zirafah berleher panjang sahaja mampu terus hidup dan terus membiak dengan banyak. 

Ini kerana zirafah yang berleher pendek banyak yang mati kebuluran kerana sukar mendapatkan sumber makanan.

Teori 'pemilihan buatan' pula merujuk kepada campur tangan manusia di dalam memilih haiwan atau tumbuhan dengan sifat tertentu. Contohnya oleh kerana manusia lebih suka menanam durian musang king secara besar-besaran, maka suatu hari nanti mungkin durian kampung akan pupus, dan hanya durian musang king sahaja yang mendominasi muka bumi.

Berkenaan ketam berwajah samurai ini pula, ahli sains barat seperti Carl Sagan berpendapat, kemunculan Heikegami adalah disebabkan oleh perbuatan para nelayan yang hanya memilih ketam tidak berwajah manusia untuk dimakan manakala ketam-ketam berwajah manusia dilepaskan kembali ke laut.

Tindakan itu telah mewujudkan keadaan "unnatural selection," di mana ketam-ketam berwajah samurai telah mendominasi kawasan laut berkenaan dan dapat membiak berkali ganda kerana para nelayan memilih untuk tidak menangkap mereka bagi menghormati puak Heike.

Ketam Samurai

Selepas berdekad lamanya keadaan itu berterusan, akhirnya hanya terdapat satu jenis ketam iaitu Heikegami sahaja di kawasan tersebut.

Dalam erti kata lain, para nelayan dan penduduk tempatan Jepun tanpa sedar mereka telah melakukan pemilihan buatan terhadap populasi ketam berkenaan. — EdisiRakyat.com, 21 Januari 2021

Post a Comment

Previous Post Next Post