KETIKA kejatuhan Italy dalam tahun 1943, askar-askar Nazi Jerman telah mengepung dan menahan orang-orang Yahudi di negara itu untuk dihantar ke kem-kem tahanan. Majoriti mereka yang dihantar ke sana tidak akan kembali semula.
Namun di Rom, sekumpulan doktor telah berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 40 orang warga berbangsa Yahudi daripada menerima nasib yang sama, dengan cara mencipta sejenis penyakit misteri yang sangat berbahaya dan sangat mudah berjangkit diberi nama "K Sindrom" (Syndrome K).
Ketika tentera Nazi menyerang, pada 16 Oktober 1947, ramai penduduk Yahudi lari menyelamatkan diri dari ditangkap. Mereka cuba mendapatkan perlindungan di Hospital Fatebenefratelli, sebuah hospital berusia 450 tahun yang terletak di sebuah pulau kecil di tengah-tengah Sungai Tiber, Rom.
Sebaik sahaja memasuki bangunan hospital tersebut, para petugas telah mengkategorikan mereka sebagai pesakit "K Sindrom".
Namun penyakit misteri itu sebenarnya tidak wujud di dalam mana-mana buku perubatan, malah penyakit itu sendiri memang tidak wujud langsung.
Nama 'Sindrom K' sebenarnya adalah kod nama yang dicipta oleh seorang doktor dan aktivis anti-Nazi bernama Adriano Ossicini untuk membezakan antara pesakit sebenar dan pesakit yang sebenarnya sihat namun perlu disembunyikan.
Semua individu yang dikategorikan sebagai "K Sindrom" itu ditempatkan di dalam sebuah ruangan bilik di hospital tersebut dan digambarkan sebagai pesakit-pesakit yang berbahaya dan sangat mudah berjangkit.
Ketika tentera Nazi melalui bilik tersebut, kanak-kanak kecil diarahkan untuk batuk dengan kuat meniru simptom pesakit tuberculosis menyebabkan tentera berkenaan enggan masuk ke bilik untuk menjalankan pemeriksaan kerana bimbang akan dijangkiti.
"Tentera Nazi fikir mereka menghidap kanser atau tuberculosis, dan mereka lari menyelamatkan diri bagaikan arnab," kata Vittorio Sacerdoti, seorang doktor berbangsa Yahudi yang bekerja di hospital tersebut menggunakan nama samaran dalam temubual dengan BBC pada tahun 2004.
Seorang lagi doktor yang turut berpakat menjayakan penipuan bagi menyelamatkan nyawa itu ialah seorang pakar bedah bernama Giovani Borromeo.
Pada 21 Jun 2016, Hospital Fatebenefratelli telah diberikan anugerah sebagai "rumah kehidupan" oleh Yayasan Wallenberg, sebuah yayasan dari Amerika Syarikat di atas tindakan berani ketika peristiwa Holocaust.
Ketika itu, Ossicini yang berusia 96 tahun telah ditemubual oleh La Stampa, sebuah akhbar tempatan berhubung kisah ciptaan penyakit palsu berkenaan.
"Sindrom K ditulis di dalam borang pesakit untuk menunjukkan bahawa individu berkenaan sebenarnya tidak sakit tapi adalah seorang Yahudi."
"Kami mencipta borang-borang untuk orang Yahudi seolah-olah mereka adalah pesakit, dan jika mereka ditanya apa penyakit yang dihidapi, ia adalah Sindrom K, bermaksud 'saya adalah seorang Yahudi,' seolah-olah mereka sakit tapi sebenarnya mereka sihat," kata Ossicini.
Idea untuk menggunakan kod nama Sindrom K, diambil sempena nama Albert Kesserling, seorang komander Jerman yang mengetuai serangan di Rom, Italy dan Herbert Kappler yang dilantik sebagai ketua polis, namun kemudian dilaporkan menjadi dalang tragedi pembunuhan beramai-ramai di Ardeatine mengakibatkan ramai Yahudi Itali dan tahanan politik dibunuh dalam tahun 1944. — EdisiRakyat.com, 19 Disember 2020
Sumber - Italian doctor who fooled Nazi
Post a Comment