BAYAM antara sayuran yang banyak khasiat. Terdapat dua jenis bayam iaitu bayam hijau dan bayam merah.
Salah satu spesis bayam adalah bayam Brazil yang dipercayai berasal daripada Brazil dan Amerika selatan yang kini sudah mula popular di Malaysia.
Teknik tanaman sayuran ini boleh ditanam dengan membaja benihnya atau melalui penanaman semula batang bayam. Sistem hidroponik ataupun aquaponik amat baik untuk tanaman ini.
Tanaman ini tidak memerlukan penjagaan yang rumit malah ianya lebih mudah membiak dan hasilnya dapat dituai hanya selepas beberapa minggu ditanam.
Dengan menggunakan kaedah akuaponik, bayam Brazil dapat ditanam dengan lebih cepat dan rasanya juga sedikit berbeza berbanding penanaman dengan menggunakan kaedah yang lain.
Bayam Brazil juga boleh menjadi tanaman hiasan di rumah kerana stuktur bayam Brazil itu sendiri amat cantik dan menghijau.
Bayam Brazil ini mudah ditanam malah ini juga mampu membekalkan pelbagai khasiat sekali gus membantu untuk terus kekal sihat serta menjadi kegemaran ramai sebab teksturnya yang rangup dan tidak berlendir.
Perbezaan bayam hijau dan bayam merah tidak terlalu ketara. Kandungan yang terdapat didalam bayam hijau iaitu calcium oxalate yang boleh menyebabkan penyakit batu karang. Tetapi kandungan ini kurang di dalam bayam merah.
Bagi mereka yang berisiko mendapat penyakit batu karang atau pernah mendapat penyakit batu karang, adalah digalakkan mengambil bayam merah berbanding bayam hijau.
Keburukan pengambilan bayam hijau yang berlebihan boleh menyumbang kepada penyakit batu karang. Adalah penting untuk kita mengambil makanan yang seimbang untuk menjaga kesihatan.
Dari sudut kandungan vitamin, bayam hijau dan bayam merah adalah sama.
Bagi wanita hamil bayam juga adalah bagus untuk menjadi ejen penambah darah kerana kandungan zat besi yang terdapat di dalam sayuran bayam.
Disarankan pengambilan bayam bagi wanita yang hamil adalah dengan cara memasak sayuran tersebut seperti bayam masak air atau sup bayam, supaya kandungan zat besi lebih mudah diserap oleh badan.
Bagi mereka yang tidak hamil dan sihat tubuh badan, sayur bayam Brazil ini juga amat enak dimakan sebagai ulam.
Sayur bayam Brazil juga popular menjadi kudapan dengan resepi menggoreng sayur bayam Brazil tersebut. Nutrisi dari vitamin dan serat nya adalah kekal, akan tetapi apabila ada penambahan garam dan minyak, pengguna disarankan untuk menghadkan pengambilan bayam Brazil yang telah di goreng.
Ini kerana pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan penyakit darah tinggi. Manakala pengambilan minyak yang banyak boleh menyebabkan obesiti.
Bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan, pengambilan bayam Brazil secara ulam-ulaman adalah sangat bagus. Kebaikan bayam Brazil atau sayur-sayuran lain juga buah-buahan yang segar amat membantu bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan dan mengamalkan diet makanan yang sihat.
Kanak-kanak juga digalakkan memakan bayam Brazil atau sayur-sayuran yang lain untuk memperkuatkan sistem tubuh badan mereka.
Penyediaan bayam Brazil secara ulaman, adalah penting untuk memastikan tahap kebersihan sayur tersebut. Dengan cara mencelur iaitu merendam sayuran di dalam air yang mendidih dalam waktu yang singkat adalah langkah yang terbaik untuk memastikan sayur-sayuran itu bersih dari bakteria.
Bayam Brazil juga boleh dijadikan smoothie atau jus. Dengan cara mengisar bayam Brazil bersama epal hijau,lobak merah, kurma atau kismis, sedikit garam dan susu segar. — EdisiRakyat.com, 14 Disember 2020
إرسال تعليق