Ucapan Merry Christmas hukumnya harus — Mufti Wilayah

HARUS hukumnya untuk Umat Islam menyampaikan ucapan "Merry Christmas" kepada orang bukan Islam sempena perayaan agama mereka dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji, atau memuliakan agama bukan Islam, serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Fatwa itu disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan media menerusi laman sesawang rasminya.

Mufti Wilayah Persekutuan

Dr Zulkifli turut menggesa para ulama untuk menginterpretasikan apa yang didapati daripada teks-teks klasik ulama silam supaya sesuai dengan kerangka masa kini tanpa meninggalkan batasan syarak.

Katanya tidak cukup hanya sekadar menukilkan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam, bahkan para ulama perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi' (membaca realiti semasa).

"Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak pada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana."

"Dengan itu akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan lil alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat)," katanya.

Bagaimanapun beliau turut memberikan 5 garis panduan yang perlu diambil kira berhubung perkara itu. Berikut garis panduan tersebut.

  1. Ucapan tahniah adalah sebagai tanda perpaduan dan hubungan kemasyarakatan yang erat dan harmoni. Adapun melibatkan diri dalam upacara upacara keagamaan khusus mereka ia tetap tidak dibenarkan di sisi Islam.
  2. Ucapan tersebut tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan memuliakan dan menyetujui agama lain serta tidak juga menumpahkan kasih sayang yang terlalu tinggi melangkaui batas agama.
  3. Ucapan tahniah tidak mengandungi sebarang bentuk penghargaan yang menyalahi syarak seperti menghadiahkan arak dan perkara yang tidak diizinkan dalam Islam.
  4. Ucapan tersebut adalah kepada orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam, khususnya kepada seseorang yang mempunyai kaitan tertentu seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman-teman pengajian, kawan-kawan sekerja dan sebagainya.
  5. Menghadiri jemputan makan malam bukan Islam, menziarahi bukan muslim dan bertukar-tukar hadiah juga adalah dibenarkan. Rasulullah SAW pernah menerima hadiah daripada Raja Al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar Al-khattab RA juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang tidak memeluk Islam. — EdisiRakyat.com, 24 Disember 2018

Post a Comment

أحدث أقدم