Seorang rakyat Malaysia cedera dalam bencana tsunami di Indonesia

SEORANG rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian tsunami yang melanda selat Sunda di Indonesia.

Menurut satu kenyataan oleh agensi pasukan mencari dan menyelamat Indonesia (Basarnas), rakyat Malaysia itu yang dikenali sebagai Khairul Umam Masduki mengalami kecederaan di kaki dalam kejadian tsunami.

Tsunami Selat Sunda Indonesia

Lelaki berusia 31 tahun itu bagaimanapun berjaya sampai ke kawasan tanah tinggi sebelum diselamatkan kemudian.

"Basarnas menerima informasi tentang mangsa yang telah ditempatkan di pusat bantuan sementara di Kalianda pada jam 11 pagi," tulis kenyataan itu.

Mangsa berkenaan telah dibawa ke Bob Bazar Hospital Kalianda untuk rawatan lanjut.

Seorang jurucakap dari Kedutaan Malaysia di Jakarta, ketika dihubungi berkata, pihak kedutaan sedang berhubung dengan Basarnas di dalam menyediakan bantuan yang diperlukan termasuk bantuan konsular kepada mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bencana tsunami yang berlaku pada 9.27 pm hari Sabtu (22 Disember 2018) dipercayai akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau, yang mencetuskan runtuhan dasar laut sekaligus menyebabkan terhasilnya gelombang besar.

Setakat jam 5 petang hari ini, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Indonesia merekodkan seramai 429 orang maut, sementara 1,485 lagi dilaporkan cedera dan lebih 800 buah rumah musnah. Bencana tsunami tersebut menjejaskan empat daerah, iaitu Pandeglang, Serang, Selatan Lampung, dan Wilayah Tanggamus. — EdisiRakyat.com, 25 Disember 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post