Umat Islam wajib bantah ICERD — Hadi Awang

PRESIDEN PAS, Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata adalah wajib bagi umat Islam untuk membantah usaha Putrajaya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Hadi Awang

Beliau mendakwa, ratifikasi ICERD akan meletakkan Islam pada "kedudukan yang sama," dengan agama-agama lain di negara ini.

"Malangnya, ada umat Islam yang tidak faham atau berpura-pura tidak faham, mereka mahu memperjuangkan kesamarataan dan menjadikan Islam sama dengan agama-agama lain," katanya lapor The Malaysian Insight.

"Kita mesti tentang (ICERD), kerana adalah wajib untuk umat Islam mengatakan bahawa Islam yang benar. Kita boleh beri hak kepada agama lain tapi untuk mengatakan agama lain sama dengan Islam tidak boleh diterima,"

"Ini batas yang kita tak boleh langkau," kata beliau lapor New Straits Times ketika menyampaikan ceramah di Masjid Abidin sempena malam Maulidur Rasul di Kuala Terengganu.

Menurut Hadi, ICERD tidak boleh diratifikasikan di Malaysia kerana ia tidak adil kepada negara.

"Kita mesti faham bahawa keadilan mesti dilaksanakan dengan betul. Ibu bapa anak 10 tidak sama dengan ibu bapa dengan anak tiga. Kita tak boleh beri semua ibu bapa benda yang sama atas nama keadilan,"

"Umat Islam bumiputera tertinggal di belakang. Penjajah British memberikan kita kemudahan belajar yang teruk, manakala bukan Islam ditempatkan di bandar-bandar untuk mengawal perdagangan, industri, pelabuhan dan banyak lagi,"

"Untuk melucutkan (keistimewaan kita) dalam keadaan kita yang lemah atas nama kesamarataan tidak betul," katanya.

PAS dan Umno, dua parti Melayu terbesar Malaysia akan menganjurkan satu himpunan membantah ratifikasi ICERD di ibu negara pada 8 Disember 2018.

Kedua-dua parti itu telah mengadakan satu himpunan bersama pada hari Sabtu di pasir Salak untuk membantah cadangan meratifikasi ICERD.

"Saya sahkan Umno akan menyokong himpunan ini di Kuala Lumpur. Kita akan ketepikan perbezaan politik dalam hal ini. Ini bukan soal Umno atau PAS tapi tentang perpaduan ummah dan rakyat Malaysia," kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dalam himpunan tersebut.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebelum ini berkata, mustahil untuk kerajaan melaksanakan ICERD kerana ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara ini mustahil untuk dicapai berdasarkan komposisi Dewan Rakyat hari ini, ditambah dengan bantahan disuarakan oleh kedua-dua ahli parlimen pembangkang dan kerajaan terhadap ICERD.

"Hanya dengan sokongan pembangkang kita boleh dapat majoriti dua pertiga. Namun jika begitu pun, Ahli Parlimen kerajaan sendiri tidak akan menyokong (ICERD). jadi saya fikir hampir mustahil untuk kita capai majoriti dua pertiga yang diperlukan (bagi meminda perlembagaan)." Katanya — EdisiRakyat.com, 20 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post