Menteri Pertahanan Israel letak jawatan, bantah henti serangan ke atas Gaza

MENTERI Pertahanan Israel dilaporkan meletak jawatan kerana membantah gencatan senjata terhadap Gaza, di Palestin.

Avigdor Lieberman mengumumkan peletakan jawatan dan menggesa pilihanraya umum segera diadakan selepas tidak berpuas hati dengan rundingan Gaza.

Lieberman dilapor turut membawa partinya keluar daripada gabungan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekaligus mengakibatkan gabungan pemimpin itu mempunyai hanya kelebihan satu kerusi majoriti di parlimen.

Avigdor Lieberman

Tindakan mengejut itu dilapor mengakibatkan kerajaan Israel berada dalam terumbang-ambing.

Netanyahu mempertahankan perjanjian gencatan senjata yang menamatkan pertikaian antara Israel dan palestin di Gaza sejak peperangan 2014.

Lieberman menyifatkan rundingan gencatan senjata bersama Hamas semalam, yang dibantu oleh Mesir sebagai "penyerahan kepada keganasan," selepas melalui dua hari peperangan yang hebat.

"Apa yang kita lakukan sekarang sebagai negara adalah sedang berdiam diri untuk jangka masa pendek, dan kita perlu membayar harga kerosakan jangka panjang kepada keselamatan negara," katanya kepada wartawan menjelaskan alasan peletakan jawatan.

"Kita perlu bersetuju dengan tarikh pilihanraya diadakan seawal mungkin," tambahnya.

Pilihanraya Israel perlu diadakan tidak lebih dari November 2019, namun perletakkan jawatan Lieberman itu dijangka meningkatkan kemungkinan pilihan raya awal.

Namun pegawai daripada Parti Likud Netanyahu membidas spekulasi pilihan raya awal akan diadakan sambil berkata Perdana Menteri akan mengambil tugas Lieberman buat sementara waktu.

"Tiada kewajipan untuk mengadakan pilihanraya awal dalam tempoh keselamatan yang sensitif," kata seorang pegawai yang enggan identitinya didedahkan.

Netanyahu dilapor mula mengadakan rundingan dengan ketua-ketua parti dalam gabungannya untuk menstabilkan kedudukan dan usaha itu dijangka berterusan sehingga hari Khamis.

Namun netanyahu dalam satu kenyataan berkata, Lieberman masih belum menghantar surat peletakan jawatan.

Naftali Bennet, Menteri Pendidikan Israel pula mengancam untuk menarik diri dari gabungan bersama Perdana Menteri sekiranya tidak diberikan portfolio pertahanan.

Pihak Hamas yang mengawal semenanjung Gaza pula, menganggap perletakan jawatan Itu sebagai "kejayaan politik untuk Gaza," sambil menyifatkan ia sebagai hasil dari kekalahan Israel minggu ini. — EdisiRakyat.com, 15 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post