DBKL cadang pelarian Rohingya sertai PLKN sebelum dibenarkan bekerja

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan tampil dengan cadangan supaya etnik pelarian Rohingya menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi membolehkan mereka mempelajari budaya masyarakat tempatan termasuk bahasa sebelum dibenarkan bekerja sebagai pembantu kedai atau di pasar.

Cadangan itu disuarakan Pengarah Penguatkuasa DBKL, Azman Mahmud. Mengikut rekod UNHCR, terdapat 29,209 pemegang kad UNHCR di sekitar ibu negara yang kebanyakkannya tinggal dan bekerja secara haram di sekitar Pasar Besar Kuala Lumpur.

Atas dasar perikemanusiaan pelarian ini katanya perlu dibenarkan untuk mencari makan dalam tempoh mereka masih berlindung di negara ini namun bukannya sebagai peniaga.

TAG

"Kita kena duduk satu meja dengan pihak UNHCR untuk penyelesaian jangka masa panjang,"

"Cadangan kita untuk menghantar mereka ke kursus PLKN, kemudian pihak UNHCR akan keluarkan satu sijil, dan sijil ini kita akan bawa bersama, boleh kita bincang dengan pihak penjaja, untuk mereka ini ditawarkan sebagai pembantu kedai," katanya.

Menteri Wilayah, Khalid Samad dilaporkan berkata, pihaknya tiada masalah dengan cadangan itu bagi membenarkan pelarian itu bekerja.

Menurut Khalid lagi, idea itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam masa terdekat.

"Mungkin itu satu cara dan kita boleh manfaatkan kem-kem yang sekarang ini sudah lagi tidak digunakan, untuk memberikan latihan kepada mereka,"

"Ianya akan membantu mereka juga, supaya mereka ini bukan sekadar datang sini lepas tu tiada apa-apa manfaat dari segi kemahiran, latihan dan sebagainya," katanya.

Malah, keadaan sama boleh juga digunakan ke atas pelarian Syria, tambahnya lagi, kos untuk menampung PLKN bagi pelarian Rohingya itu nanti boleh diambil daripada bayaran permit, yang akan dikenakan apabila mereka mula bekerja.

"Kalau ianya dapat diurus dengan baik, kita boleh kurangkan pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh, dan tempat-tempat lain kerana secara logiknya, pelarian UNHCR ini lebih memerlukan,"

"Apa salahnya kita benarkan mereka bekerja, dan mereka boleh kekal dalam kemahiran yang mereka perolehi, supaya satu ketika kelak mereka dapat balik ke negara asal, mereka boleh bekerja di sana," — EdisiRakyat.com, 24 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post