Amanah dibenar tangguh pemilihan parti

PARTI Amanah Negara (AMANAH) dibenar untuk menangguhkan pemilihan parti itu oleh Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presidennya, Mohamad Sabu atau juga dikenali sebagai "Mat Sabu" dilaporkan berkata paling awal pemilihan parti itu akan diadakan pada bulan Jun tahun hadapan.

Mat Sabu

Bagaimanapun katanya, mesyuarat cawangan akan diteruskan seperti yang telah dijadualkan dalam bulan Mac.

"Tarikh konvensyen parti akan diputuskan kemudian, pada atau selepas bulan Jun. Pemilihan pula akan berjalan seperti biasa, perwakilan akan mengundi bukan melalui sistem undian elektronik," katanya kepada wartawan selepas pembukaan Konvensyen Amanah Selangor yang dihadiri sekitar 1,000 orang.

Pemilihan parti itu sepatutnya diadakan pada tahun ini, namun telah mendapat kebenaran untuk penangguhan dari ROS disebabkan oleh pilihan raya umum ke 14.

Ditanya sama ada Amanah mempunyai senarai ahli-ahli Umno yang diharamkan untuk menyertai parti itu, kata Mohamad tidak ada senarai hitam seperti itu.

"Kami tak bincang lagi perkara itu, setakat ini tak ada, tidak ada senarai hitam," katanya.

Ditanya sekiranya ada mana-mana pimpinan parti yang mahu menyertai Amanah, Mohammad mengakui ada segelintir pimpinan Umno dan Pas yang menunjukkan minat.

"Sekiranya mereka ahli parti biasa (dari parti lain), kami akan terima (permohonan mereka). Namun jika mereka pimpinan tinggi, kami perlu berbincang dahulu. Secara umum ramai ahli parti pembangkang yang telah keluar dan sekarang menyertai Amanah dan parti komponen Pakatan Harapan yang lain," katanya. — EdisiRakyat.com, 18 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post