KEPUTUSAN pemilihan bagi empat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur malam esok.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Jawatankuasa Pemilihan PKR Melaka berkata, keputusan rasmi tidak dapat diumumkan kerana "masaalah teknikal".
Empat cabang-cabang PKR yang terjejas adalah, Jasin, Tangga Batu, Masjid Tanah dan Kota Melaka.
Pada hari Sabtu, sejumlah 9,387 ahli PKR Melaka yang berdaftar mengundi untuk memilih barisan pimpinan baru pusat dan enam cabang PKR di negeri itu.
Pengerusi PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga merupakan Timbalan Menteri Industri Asas Utama bertanding Jawatan Ketua Cabang Jasin.
ADUN Klebang, Gue Teck bertanding jawatan Ketua Cabang Tangga Batu manakala Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr Rosnah Aluai bertanding jawatan Timbalan Ketua cabang yang sama.
Blogger Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai 'Ratu Naga' berdepan saingan 3 penjuru menentang Abdul Wahab Ibrahim, dan Halim Bachik, bagi jawatan Ketua Cabang Masjid Tanah.
Lau Bing Haw, S. Jeyamuralee dan Mohamad Riduwan Mr Amin pula bertanding jawatan Ketua Cabang Kota Melaka.
Dua lagi cabang yang mengadakan pemilihan adalah cabang Alor Gajah dan Bukit Katil. — EdisiRakyat.com, 22 Oktober 2018
Post a Comment